‘Wahyu Presiden’ timbul semula pada Pemilihan PKR kali ini

PKR
PKR
A
A
A

KEMPEN pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kali ini melihatkan kembali timbulnya isu membabitkan dakwaan wujudnya calon tertentu yang menggunakan ‘wahyu Presiden’ untuk meraih sokongan.

Perkara itu pertama kali ditimbulkan oleh calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli pada Selasa lalu yang mendedahkan bahawa terdapat pihak tertentu yang mendakwa mereka merupakan calon pilihan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan daripada itu, Anwar pada Rabu tampil mengingatkan ahli parti supaya tidak melanggar prinsip dan tunjang partinya ketika musim pemilihan PKR.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, pelbagai andaian politik yang wujud semasa tempoh tersebut seperti adanya ‘wahyu' itu walaupun boleh didengar, namun ia tidak seharusnya diterima kesemuanya.

Tambah beliau, kewujudan PKR itu tidak ditegakkan oleh dirinya seorang sahaja tetapi juga disumbang oleh cita-cita murni bersama pihak lain termasuk jentera dan mereka yang berjuang di jalanan.

Dalam pada itu, calon Naib Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Rabu berkata, dakwaan terdapatnya calon tertentu yang bertanding pada pemilihan kali ini dan mempunyai 'wahyu Presiden' perlu dibuktikan dengan jelas.

Amirudin berkata, kempen menggunakan wahyu presiden tidak semestinya berkesan untuk menarik sokongan pada pemilihan parti seperti yang berlaku dalam pemilihan pada tahun 2013 dan 2018.

Proses pengundian pemilihan kali ini yang dilaksanakan secara dalam talian akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mei ini manakala secara fizikal pula adalah pada 13 hingga 17 Mei ini.

Artikel Berkaitan:

Pemilihan PKR kali ini tentunya akan menjadi tumpuan pemerhati politik dan rakyat Malaysia yang mahu melihat sejauh mana ia mampu membawa perubahan terhadap arah tuju parti tersebut.

Ini selepas parti itu dilihat tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan selepas berlakunya langkah Sheraton yang menyaksikan beberapa pimpinan utamanya mengambil tindakan keluar daripada PKR.

Antara yang menjadi perhatian tentunya jawatan kedua tertinggi parti iaitu Timbalan Presiden yang menyaksikan persaingan antara Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Dalam pada itu, perebutan jawatan Naib Presiden PKR yang mempunyai empat jawatan pada kali ini menjadi lebih meriah selepas sebanyak 17 calon dijangkakan bertanding membabitkan beberapa nama besar dalam parti itu.

Antaranya ialah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.