Pasang CCTV kesan individu buang sampah ke Sungai Pinang

Mohideen Abdul Kader
Mohideen Abdul Kader
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di tempat strategik di sepanjang Sungai Pinang untuk menangkap individu yang membuang sampah.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata kerajaan negeri juga disaran memagar tebing sungai khususnya berhampiran kawasan kediaman bagi mengelak perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

"CAP jijik dengan sikap sesetengah penduduk membuang sampah dengan sewenang-wenangnya ke dalam Sungai Pinang.

"Sampah-sarap yang terperangkap oleh penghadang sungai itu kemudian terpaksa dibersihkan pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, kerajaan negeri juga perlu menimbangkan untuk meminda Akta Kualiti Alam Sekitar (EQA) 1974 bagi menaikkan jumlah denda dan tempoh penjara terhadap mereka yang melakukan kesalahan mencemarkan alam sekitar.

Jelasnya, pada masa sama, ia memerlukan usaha penguatkuasaan yang tulen untuk mengheret pesalah dan mengenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, sebanyak satu tan sampah dikutip di 'log boom' yang dipasang di Sungai Pinang di sini setiap hari oleh pekerja pembersihan yang ditugaskan.

Antara barangan yang dikutip adalah katil, peti ais, sofa, plastik pembungkus makanan, perkakas plastik dan botol minuman.

Artikel Berkaitan:

Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, jumlah sampah tersebut diperoleh daripada beberapa 'log boom' yang dipasang di Sungai Pinang bagi memerangkap sampah daripada terus mengalir ke laut.

Menurutnya, kerajaan negeri mempertingkatkan kerja mengutip sampah setiap hari bagi memastikan jumlah sampah tidak terlalu banyak di dalam sungai berkenaan.