Penjenayah tembak mati polis 5 tahun lalu berdepan hukuman mati

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Suspek utama yang menembak mati seorang pengawal keselamatan dalam kejadian rompakan bersenjata di hadapan sebuah bank di Puchong Prima, Puchong 11 Mac lalu didakwa di Mahkamah Shah Alam di sini atas lapan pertuduhan pada Rabu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tertuduh yang aktif melakukan jenayah secara solo itu turut didakwa atas pertuduhan membunuh Lans Koperal Valentino Mesa, yang ditemui mati dengan kesan tetakan dan tembakan di sebuah balai polis di Subang Jaya lima tahun lalu.

Menurutnya, kehilangan pistol semi automatik jenis Walther P99 milik mendiang juga terjawab apabila senjata api terbabit ditemui bersama tertuduh dan dipercayai turut digunakan untuk menembak mati pengawal keselamatan berkenaan.

"Dengan tertangkapnya tertuduh, Polis Diraja Malaysiaturut berjaya merungkai kes pembunuhan melibatkan seorang anggota polis lima tahun lalu yang ditembak mati semasa sedang bertugas di sebuah balai di Pinggiran USJ.

"Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori dan cubaan membunuh rakan sekerja mangsa (pengawal keselamatan) yang ditembak di bahagian perut di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

"Tertuduh juga dituduh memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenama Walther P99 dengan menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebat tidak kurang enam kali," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian pada 12 Mac melaporkan tertuduh berjaya ditahan hasil maklumat daripada orang awam ketika tertuduh cuba untuk mendepositkan wang tunai hasil rompakan di Puchong Prima ke dalam sebuah bank di Seksyen 20 di sini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, pihak polis merampas wang tunai berjumlah RM350,000 daripada tertuduh, sepucuk pistol Walther P99, 10 butir peluru, dua kelopak peluru, sarung tangan, kasut taktikal, cermin mata taktikal dan sehelai jaket.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, tertuduh juga dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman mati membabitkan rompakan di Puchong dan tiga lagi kejadian samun bersenjata melibatkan tertuduh di sekitar Subang Jaya dan Shah Alam.