Tiga selebriti popular hangatkan pemilihan PKR

Tiga artis terkenal tanah air yang turut beradu nasib untuk bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025 kali ini.
Tiga artis terkenal tanah air yang turut beradu nasib untuk bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025 kali ini.
A
A
A

PEMILIHAN Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi penggal 2022/2025 menarik perhatian umum dengan penglibatan tiga selebriti popular tanah air yang bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang.

Difahamkan, antara yang menghantar borang pencalonan adalah aktor dan penerbit, Datuk Hans Isaac; rakan baiknya, Datuk Afdlin Shauki dan pengarah serta penyanyi terkenal, Altimet.

Sumber terdekat Hans mengesahkan, aktor itu telah menghantar borang pencalonan pada 8 April lalu bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Ampang.

Bagaimanapun, buat masa ini, beliau dikatakan belum bersedia untuk memberikan kenyataan namun dijangka menganjurkan satu sidang media bagi mengulas perkara itu dalam masa terdekat.

Hans dan Altimet dijangka akan bersaing bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Ampang dan akan bertanding dalam saingan sembilan penjuru.

Sementara itu, Afdlin Shauki pula difahamkan akan bertanding bagi merebut jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.

Hans menyertai PKR pada 2020 dan turut disebut-sebut akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas penyandang kerusi itu yang juga Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat daripada parti.

Penglibatan artis popular dalam pentas politik tanah air bukanlah perkara baharu, sebelum ini terdapat beberapa nama yang pernah menceburi dan masih bergiat aktif sehingga kini.

Artikel Berkaitan:

Antaranya, pelantun lagu popular, Janji Manis Mu iaitu Wan Aishah Wan Ibrahim yang menyertai Pas dan bertanding sebagai calon Parlimen Jempol pada PRU13.

Datin Anne Ngasri yang juga isteri ahli politik, Datuk Sumali Reduan menyertai arena politik bersama UMNO sejak 2013 dan pernah diamanahkan sebagai Ketua Puteri UMNO Cawangan Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

Pelakon, Datuk Khaidiriah Abu Zahar atau lebih dikenali sebagai Dira Abu Zahar mencipta sejarah apabila menjadi selebriti pertama bergelar wakil rakyat selepas memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang lalu.

Golongan selebriti dikatakan mempunyai pengaruh yang agak kuat kepada masyarakat.

Justeru, adakah dengan penglibatan selebriti-selebriti ini dapat memikat hati pengundi muda, seterusnya meraih undi bagi parti yang diwakili mereka?