Selangor kaji kadar denda maksimum pencemaran alam sekitar

Amirudin (tengah) melancarkan simbolik perasmian program Jelajah Pendidikan Selangor 2019.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan melihat semula sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan kadar denda maksimum undang-undang alam sekitar sedia ada berjumlah RM500,000.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, ini berikutan kadar denda maksimum itu dilihat tidak memberi kesan kepada kilang-kilang yang bernilai puluhan juta ringgit.

"Bagi mereka nilai denda RM500, 000 itu terlalu kecil.

"Disebabkan itu, kita sedang melihat batas undang-undang yang kita ada bagi mengenakan hukuman lebih keras kepada pelaku atau pesalah terlibat, "katanya selepas merasmikan program Jelajah Pendidikan Selangor 2019 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor menitahkan kerajaan negeri untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap pihak yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.

Titahnya, jika terdapat keperluan, hukuman lebih berat perlu dikenakan kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai di Selangor.

Dalam perkembangan sama, Amirudin memberitahu, pihaknya juga dalam proses untuk memperkasakan Smart Selangor Command Centre (SSCC) bagi membuat pemantauan lebih terperinci di kawasan-kawasan berpotensi menjadi sasaran pembuang sisa-sisa industri serta pencemaran air.

"Kita tak boleh nak letak manusia untuk pantau di situ 24 jam. Jadi kita sedang menambah baik teknologi yang ada supaya boleh pantau keadaan melalui radar serta kamera litar tertutup (CCTV), " katanya.

Terdahulu, pada 14 Mac lalu, kolam takungan banjir di Taman Eng Ang didapati tercemar dan sebanyak 21 bahan kimia ditemui dalam laporan awal kajian makmal terhadap sampel.

Bagaimanapun kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan pada Ahad lalu oleh kontraktor dilantik Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan disahkan tiada bahan kimia berbahaya ditemui.