Sila log masuk terlebih dahulu.

PICKids: KPLB aktif semula pasukan khas di perkampungan Orang Asli

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Negeri Kelantan pada Selasa. - Foto Bernama
Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan ucapan pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media Negeri Kelantan pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengaktifkan semula pasukan khas di perkampungan Orang Asli seluruh negara bagi mempergiatkan usaha vaksinasi Covid-19 kepada kanak-kanak masyarakat itu.

Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, usaha berkenaan bertujuan memberi galakan dan penerangan kepada kanak-kanak Orang Asli untuk menerima vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids).

Katanya, secara keseluruhan terdapat sebanyak 220,000 masyarakat Orang Asli di seluruh negara dan daripada jumlah itu sekitar 30 hingga 35 peratus adalah terdiri daripada golongan kanak-kanak.

"Setakat ini, untuk vaksinasi bagi kanak-kanak Orang Asli kita tidak turun padang sepenuhnya lagi, namun selepas Hari Raya nanti kita akan cuba sedaya upaya untuk mempertingkatkan peratusan pemberian vaksin Covid-19.

"Menerusi pasukan khas yang akan diaktifkan, kita mengatur langkah agar kakitangan KPLB turun padang menggalakkan mereka menerima vaksin. Sebelum ini (vaksin golongan dewasa) orang Asli ramai menolak vaksin, namun dengan adanya kekerapan kita turun padang termasuk memberi penerangan ia dapat membantu meningkatkan jumlah penerima vaksin yang begitu ketara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Majlis Berbuka Puasa bersama Pengamal Media Kelantan, di sini hari ini, yang turut dihadiri Lembaga Pengarah KESEDAR, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Abdul Rahman berkata, bagi memastikan pasukan khas yang diaktifkan mantap dan jitu, pihaknya akan bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pejabat daerah.

Katanya, kementeriannya juga akan memaksimumkan khidmat Tok Batin bagi membantu menggalakkan kanak-kanak Orang Asli untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 memandangkan rata-rata masyarakat Orang Asli patuh kepada arahan serta tindakan Tok Batin.

"Ada segelintir daripada mereka percaya maklumat tidak benar mengenai vaksin dan mereka mudah percaya. Jadi, dengan adanya pasukan petugas ini kita akan meminta Tok Batin memainkan peranan untuk menasihatkan mereka kerana apa yang Tok Batin cakap mereka akan dengar dan lebih memberi kesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, peratusan pemberian vaksin Covid-19 di Kelantan bagi kanak-kanak masyarakat Orang Asli berusia lima hingga 11 tahun masih rendah.- Bernama