Norlela pertahan nasib Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong

Norlela
Norlela
A
A
A

GEORGETOWN - Aktiviti nelayan pantai tradisional di negeri ini mungkin akan pupus sekiranya tindakan penguatkuasaan tetap diambil terhadap Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong.

Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, tindakan merobohkan struktur hanya memberi impak hilangnya perkampungan nelayan sedangkan ketika ini cuma tinggal dua penempatan nelayan di Daerah Timur Laut iaitu di Tanjung Tokong dan Tanjung Bungah.

Menurutnya, pertimbangan sewajarnya harus diberikan kepada nelayan yang menjadikan pantai Tanjung Tokong sebagai kawasan parkir bot dan tempat menyimpan peralatan menangkap ikan selain aktiviti nelayan di situ juga turut mendapat sokongan daripada Jabatan Perikanan Malaysia sebelum ini.

"Apa yang paling membimbangkan adalah kita akan kehilangan aktiviti nelayan pantai tradisional kerana di kawasan ini sahaja penempatan nelayan pantai aktif yang masih ada selepas projek tambakan laut dilakukan di daerah Timur Laut.

"Jika nelayan semakin pupus, dikhuatiri ini akan menjejaskan keselamatan makanan kita kerana hasil tangkapan mereka mampu dibeli ramai penduduk di sini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan mengenai penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong menuntut kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai pelan pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan kampung mereka.

Timbalan Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Warisan Nelayan Tanjung Tokong, Wafiuddin Hamdan berkata, penduduk bimbang kampung warisan yang didiami mereka sejak sekian lama akan lenyap berikutan cadangan pembinaan kawasan rekreasi bagi sekolah antarabangsa berhampiran.

Beliau berkata, bagi memberi laluan kepada projek itu beberapa struktur di sepanjang pantai Tanjung Tokong akan dirobohkan seperti yang dimaklumkan oleh penyelia projek sekolah antarabangsa terbabit dalam perjumpaan diadakan pada 16 Mac lalu.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan penduduk sebelum ini telah membuat permohonan sebanyak tiga kali bagi mendapatkan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) daripada kerajaan negeri namun ditolak.

Malah mereka juga pernah kemukakan permohonan Kebenaran Mengguna Tanah Kerajaan (KMTK) namun sehingga kini tiada sebarang jawapan rasmi diberikan oleh kerajaan negeri mengenai permohonan itu.

Mengulas mengenai perkara itu, Norlela berkata, Unit Nelayan Tanjung Tokong tidak boleh memohon TOL berikutan kawasan ini terletak dalam Tanah Konsesi.

Beliau difahamkan, hanya beberapa nelayan yang terlibat akan diberikan ex-gratia oleh pemaju kawasan tersebut.

Bagi mempertahankan nasib nelayan yang terlibat, Norlela berkata, beliau telah menulis sepucuk surat kepada Pegawai Daerah Timur Laut dan berharap ada pertimbangan sewajarnya dapat diberikan dalam tindakan penguatkuasaan yang akan dilakukan pada Mei nanti.