SIRIM sedia bantu pengilang, pengimport pelitup muka dapat pensijilan

SIRIM QAS International mula melakukan pengujian dan pensijilan ke atas pelitup muka bukan perubatan sejak tahun 2016.
SIRIM QAS International mula melakukan pengujian dan pensijilan ke atas pelitup muka bukan perubatan sejak tahun 2016.
A
A
A

SHAH ALAM - SIRIM QAS International bersedia untuk membantu pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam pensijilan MS SIRIM.

Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhammad berkata, pihaknya komited untuk memastikan standard kualiti dan keselamatan yang terbaik terhadap pelitup muka digunakan oleh pengguna.

“Pada ketika ini, terdapat banyak pelitup muka bukan perubatan yang dijual di pasaran. Pengguna berhak untuk tahu bahawa produk yang dibeli adalah berkualiti tinggi, selamat dan berfungsi dengan baik.

“Ujian yang kami jalankan akan menentukan sama ada pelitup muka tersebut melindungi pemakai daripada sebarang jangkitan, serta selesa untuk dipakai selain membolehkan pemakai bernafas dengan mudah.

“SIRIM QAS International sentiasa mengutamakan keselamatan pengguna. Ini merupakan objektif setiap ujian dan pensijilan yang kami jalankan ke atas setiap produk atau perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada 7 April lalu memaklumkan pelaksanaan keperluan pensijilan dan label SIRIM pelitup muka akan dilaksanakan pada 1 Januari tahun hadapan.

KPDNHEP dalam satu kenyataan sebelum itu, telah memaklumkan bahawa Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan 2022 itu telah diwartakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 pada 5 April lalu.

Menurut kenyataan itu, pewartaan berkenaan yang akan dilaksanakan terhadap pengilang dan pengimport itu bertujuan untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan ditetapkan dalam perintah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Nur Fadhilah berkata, SIRIM QAS International mula melakukan pengujian dan pensijilan ke atas pelitup muka bukan perubatan sejak tahun 2016.

SIRIM QAS International menjalankan ujian bagi kesemua jenis pelitup muka bukan perubatan yang diuji berdasarkan standard SIRIM 40, CWA 17553, AFNOR SPEC S76-001, MS 2323 atau BS EN 149.

Setelah menjalani audit pensijilan dan lulus kesemua ujian berkenaan, produk terbabit akan diberikan label MS SIRIM yang diyakini pengguna selain jaminan produk itu berkualiti dan selamat untuk digunakan.

Nur Fadhilah meminta semua pihak yang terlibat untuk menghubungi SIRIM QAS International bagi mendapatkan pencerahan lanjut dan nasihat berkaitan ujian dan proses pensijilan.

Pertanyaan mengenai isu tersebut boleh dilakukan dengan menghubungi Khidmat Pelanggan SIRIM QAS International melalui saluran +603-5544 6400; atau WhatsApp +6019-2332511; atau e-mail cserviceqas@sirim.my.