FAM akui pengadil buat silap lagi

Aksi Liga Super antara Sri Pahang dan PJ City di Stadium Darul Makmur pada Sabtu lalu mencetuskan kontroversi selepas pengadil membenarkan gol ofsaid dijaringkan pasukan pelawat. - Foto FB Sri Pahang FC
Aksi Liga Super antara Sri Pahang dan PJ City di Stadium Darul Makmur pada Sabtu lalu mencetuskan kontroversi selepas pengadil membenarkan gol ofsaid dijaringkan pasukan pelawat. - Foto FB Sri Pahang FC
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tampil menyatakan kesalahan pegawai perlawanan ketika mengadili aksi Liga Super antara Sri Pahang FC dan PJ City FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Sabtu lalu.

Penolong Setiausaha Agung FAM, Abang Zulkarnain Abang Abdurahman berkata, pengadil telah melakukan kesalahan dari segi undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila membenarkan jaringan PJ City FC.

Menurut Abang Zulkarnain, perkara tersebut disahkan selepas analisis menerusi rakaman video dibuat ketika Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil pada Isnin.

“Mengikut laporan daripada Penilai Pengadil, prestasi dan persembahan pengadil tersebut adalah baik sepanjang perlawanan kecuali keputusan membenarkan gol tersebut pada minit ke-85.

“Memang keputusannya itu salah kerana gol tersebut dijaringkan dalam keadaan ofsaid iaitu pemain PJ City FC telah mengganggu pemain lawan dengan cara perlakuan yang jelas memberi impak terhadap kemampuan pihak lawan untuk memainkan bola.

“Hanya sekiranya pemain PJ City FC yang berkedudukan ofsaid itu tidak berada dalam laluan bola atau jauh daripada penglihatan penjaga gol lawan, maka ia tidak menjadi satu kesalahan ofsaid,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengadil FAM akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap pengadil berkenaan.

Sebelum ini, FAM turut memaklumkan akan mengambil tindakan tegas ke atas semua pegawai perlawanan yang bertugas dalam aksi Liga Super membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC di Stadium Darul Aman pada Rabu lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas laporan Penilai Pengadil mendapati terdapat kesalahan dilakukan oleh pengadil dalam membuat beberapa keputusan termasuk membatalkan jaringan Sri Pahang FC.