Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah berdaftar bawah Enakmen Tarekat NS

Mohd Yusof
Mohd Yusof
A
A
A

SEREMBAN - Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah merupakan satu daripada tarekat yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat Negeri Sembilan.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, sehubungan itu Tarekat Naqsyabandiah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani boleh diamalkan oleh pengikutnya dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Hasil kajian dibuat oleh anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan dan pemantauan yang dilakukan oleh jabatan ini terhadap majlis zikir serta aktiviti tarekat ini sama ada di Negeri Sembilan dan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mendapati ia tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan disiplin ilmu tarekat tasauwuf.

"Hal ini diperkuatkan lagi dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam kali ke-117 pada tahun 2020 yang telah mengkaji semula pengharaman tarekat tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, mana-mana tarekat boleh diamalkan dengan syarat ia tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selain itu katanya, dalam melaksanakan amalan tarekat, pengamal hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah, salah faham terhadap agama dan tidak bersesuaian dengan uruf setempat.

"Keputusan ini merupakan keputusan bersama mufti-mufti di seluruh negeri. Maka sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang telah mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 4 Januari lalu.

"Selain itu titah Sultan Selangor selaku pengerusi MKI melalui kenyataan bertarikh 9 April lepas hendaklah ditaati semua pihak," katanya.

Artikel Berkaitan: