Anwar syor RUU Anti Lompat Parti dibentang selewatnya akhir Mei

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan selewat-lewatnya akhir Mei ini.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi membolehkan pindaan Perlembagan Persekutuan yang menjadi punca kuasa bagi menggubal RUU tersebut dapat dilakukan serentak dengan pembentangan RUU Anti Lompat Parti.

“Kita mengusulkan supaya sesi berikutnya (akan dibuat) selesa-lewatnya akhir Mei akan datang. (Jadi, diharap) Perdana Menteri memberikan persetujuan tersebut supaya kita tahu pindaan ini bermaksud khusus memenuhi kehendak kita dalam meminda atau mengadakan RUU yang baharu ini.

“Ia juga bagi membolehkan supaya ahli Yang Berhormat akan dapat kepastian apa yang dimaksudkan dengan pindaan ini dan ini agar kita juga tahu apa yang akan diterjemahkan dalam RUU Anti Lompat Parti.

“Saya juga harap Jawatankuasa Pilihan Khas ini akan segera bermesyuarat dan mencari kata sepakat supaya kita dapat bentang, bahas dan lulus secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahasakan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 pada Mesyuarat Khas Penggal Kelima Majlis Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) bagi membolehkan peraturan anti lompat parti dilaksanakan diyakini mampu memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap orang politik dan demokrasi negara.

Ini kerana katanya, ketika ini keyakinan rakyat terhadap kedua-dua perkara itu sedikit terhakis susulan tindakan wakil rakyat yang bertindak lompat parti secara meluas sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Artikel Berkaitan:

“Pindaan ini kalau kita lihat dalam sejarah kita di negara kita ini, ia diantara usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat kepada sistem yang demokrasi dan mandat rakyat dan keduanya untuk memperkukuhkan institusi pemerintahan itu sendiri.

“Jadi, saya minta supaya menteri (Parlimen dan Undang-Undang) segera menetapkan nama yang mewakili kerajaan dan pembangkang dalam jawatankuasa pilihan (untuk pindaan RUU Anti Lompat Parti),” ujarnya.