[VIDEO] Polis lepas tembakan, pasangan kekasih cuba rempuh anggota

Perodua Myvi yang dinaiki suspek terbabas di stesen minyak di Gertak Chaber, Tanah Merah selepas cuba melarikan diri daripada polis.
Perodua Myvi yang dinaiki suspek terbabas di stesen minyak di Gertak Chaber, Tanah Merah selepas cuba melarikan diri daripada polis.
A
A
A

TANAH MERAH - Polis terpaksa melepaskan satu das tembakan amaran ke udara sebelum berjaya menahan sepasang kekasih selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki mereka terbabas di sebuah stesen minyak di Gertak Chaber, di sini pada Ahad.

Tembakan amaran terpaksa dilepaskan selepas pasangan kekasih berusia 20 dan 22 itu enggan memberhentikan kereta yang dinaiki mereka walaupun telah diarahkan berbuat demikian menggunakan alat pembesar suara.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Wan Zulfikri Wan Othman berkata, semasa melakukan rondaan pada jam 11 malam anggota Unit Kereta Peronda (MPV) telah melihat sebuah Perodua Myvi berada dalam keadaan mencurigakan di lorong belakang bangunan ECO berhampiran jalan Humaira.

"Semasa mahu melakukan pemeriksaan, pemandu kereta berusia 20 tahun telah bertindak cuba merempuh anggota bertugas sehingga menyebabkan kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan memecut laju Myvi yang dipandu sehingga melanggar beberapa kenderaan yang diletakkan di bahu jalan di jalan Hiburan," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV selepas dirempuh kenderaan dipandu suspek.
Kerosakan pada pintu sebelah kiri kenderaan MPV selepas dirempuh kenderaan dipandu suspek.

Menurutnya, anggota polis telah bertindak menggunakan pembesar suara supaya suspek memberhentikan kenderaannya namun bertindak memecut laju.

Beliau berkata, kereta Myvi itu bagaimanapun hilang kawalan sebaik sahaja tiba di Petronas Gertak Chaber.

Artikel Berkaitan:

Wan Zulfikri berkata, anggota bertugas telah melepaskan satu das tembakan amaran ke udara dan berjaya menahan kedua-dua suspek.

"Siasatan awal mendapati suspek cuba melanggar kenderaan MPV untuk melarikan diri selepas terkejut melihat anggota polis hendak membuat pemeriksaan ketika bersama dengan teman wanita di dalam Myvi itu.

"Wanita berusia 22 tahun itu pula mengaku baru sahaja mengenali lelaki tersebut sebulan lalu dan mereka adalah pasangan kekasih," katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek tidak mengalami sebarang kecederaan dan direman bagi membantu siasatan.