Pengurus lombong bijih rugi RM40,000 ditipu Macau Scam

Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof
Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pengurus lombong bijih di Gua Musang kerugian RM40,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 36 tahun yang berasal dari Kota Bharu itu menerima panggilan daripada 'pihak LHDN' pada jam 5.20 petang.

"Pihak 'LHDN' memaklumkan bahawa mangsa mempunyai tunggakan bayaran cukai sebanyak RM98,000 dan kemudian menyambung panggilan itu ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

"Dalam perbualan itu 'pihak LHDN' memberitahu mangsa telah terlibat dalam kes penggubalan wang haram dan jenayah berkait dengan dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya telah diminta untuk membuka satu akaun bank yang baharu bagi menjalankan siasatan.

"Mangsa telah membuka akaun baharu di Bank Islam Gua Musang sekitar jam 12 tengah hari.

"Mangsa telah memindahkan wang berjumlah RM40,000 daripada Tabung Haji ke dalam akaun Bank Islam tersebut," katanya.

Katanya, selepas itu, mangsa telah diberikan satu link aplikasi Bank Negara Malaysia versi 1 dan diminta untuk mengisi kesemua maklumat akaun (Bank Islam) dan pengenalan diri.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kemudian diberitahu siasatan akan dijalankan selama tiga hari dan boleh mengambil kembali wang tersebut.

"Selepas sejam kemudian mangsa yang mula curiga dan segera menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank Islam untuk mendapatkan maklumat," katanya.

Katanya, bagaimanapun mangsa diberitahu baki wang yang ada dalam akaun tersebut adalah sebanyak RM100.