16 rakyat Malaysia dipaksa jadi 'scammer' di Kemboja diselamatkan

Seramai 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan di Kemboja berjaya diselamatkan dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.
Seramai 16 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan di Kemboja berjaya diselamatkan dan akan dibawa pulang dalam masa terdekat.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 16 rakyat Malaysia yang dipaksa bekerja sebagai 'scammer' oleh satu sindiket di Preah Sihanouk di Kemboja berjaya diselamatkan pada Selasa dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar Negeri dan agensi penguatkuasaan antarabangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kesemua mangsa mendakwa terpedaya dengan iklan peluang pekerjaan di Facebook yang menawarkan pendapatan lumayan sebagai pegawai khidmat pelanggan.

"Kesemua kos perjalanan ditanggung pihak syarikat di Kemboja, setelah mangsa tiba dokumen perjalanan mereka telah dirampas dan pergerakan mereka dikawal serta dikurung dengan kawalan ketat.

"Setelah tiba ke destinasi barulah mangsa sedar pekerjaan sebenar dan merasakan mereka diperdaya. Siasatan awal pihak polis mendapati mereka dipaksa bekerja sebagai scammer," katanya dalam kenyataan, pada Sabtu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengesahkan 16 rakyat Malaysia sedang disoal siasat pihak berkuasa di Kemboja.

Saifuddin berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan mengesahkan semua mangsa berada dalam keadaan yang baik.

Tambah Abd Jalil, kesemua mangsa terdiri daripada 15 lelaki dan seorang wanita semuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 43 tahun.

"Kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di Phnom Penh, Kemboja sementara menunggu penerbangan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Berkaitan: