PATI ludah, hambur kata-kata kesat kepada petugas DBKL ditahan

Keadaan menjadi kecoh apabila suspek wanita bertindak agresif mengoyakkan baju dipakainya lalu menuduh perbuatan tersebut dilakukan anggota penguat kuasa bagi mengelakkan dirinya daripada ditangkap.
Keadaan menjadi kecoh apabila suspek wanita bertindak agresif mengoyakkan baju dipakainya lalu menuduh perbuatan tersebut dilakukan anggota penguat kuasa bagi mengelakkan dirinya daripada ditangkap.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana menghalang tugas penjawat awam dengan mengeluarkan kata-kata kesat serta meludah ke arah muka salah seorang anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum kejadian, sepasukan anggota penguat kuasa DBKL melakukan rondaan di sekitar ibu negara sebelum terlihat seorang lelaki dan wanita warga asing menjalankan perniagaan di hadapan kaki lima berhampiran sebuah bank di Pusat Bandar Utara di sini.

Menurutnya, warga asing terbabit didakwa menggunakan kekerasan terhadap anggota penguat kuasa tersebut ketika cuba menyita barang-barang perniagaan mereka.

Katanya, pihak polis menerima laporan kejadian tersebut daripada petugas DBKL berkenaan sekitar jam 6.41 petang.

"Keadaan menjadi kecoh apabila kedua-dua warga asing tersebut enggan bekerjasama dan melakukan provokasi agresif dengan menepis tangan pihak berkuasa yang sedang merakam gambar sehingga menyebabkan telefon bimbit jatuh serta rosak.

Suspek bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan meludah ke arah muka salah seorang penguat kuasa DBKL.

"Suspek wanita pula bertindak mengoyakkan baju dipakainya lalu menuduh perbuatan tersebut dilakukan anggota penguat kuasa bagi mengelakkan dirinya daripada ditangkap," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Rakaman kejadian tersebut turut tular selepas satu klip video berdurasi satu minit 33 saat dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial memaparkan kejadian tersebut yang difahamkan berlaku di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek yang berusia 34 dan 38 tahun itu ditahan di lokasi kejadian, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau.

"Kedua-dua suspek direman bermula 9 sehingga 22 April bagi siasatan lanjut.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana telah menggunakan kekerasan terhadap penjawat awam dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," ujarnya.