Ada doktor kontrak sudah putus harapan

Luahan hati Dr Prabakaran dikongsi di Twitter HartalDoktorKontrak pada Sabtu.
Luahan hati Dr Prabakaran dikongsi di Twitter HartalDoktorKontrak pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun kerajaan sebelum ini mengumumkan pelantikan doktor kontrak ke jawatan tetap mulai tahun ini namun terdapat doktor kontrak yang telah putus harapan dan hanya menunggu pengakhiran perkhidmatan.

Menerusi ciapan di Twitter, akaun HartalDoktorKontrak berkongsi luahan seorang doktor kontrak, Dr Prabakaran Karuppiah yang gagal tapisan untuk diserap ke jawatan tetap itu.

Lebih menyedihkan, keputusan itu terpaksa ditelan beliau yang berasal daripada keluarga susah selepas pelbagai onak dan duri telah ditempuhi untuk mengejar cita-cita sebagai seorang doktor.

Meskipun kedua ibu bapanya hanya mendapat pendidikan setakat sekolah rendah tetapi berusaha mencari wang untuk menampung perbelanjaan dan kos pembelajaran kursus perubatannya di kolej swasta.

Bagaimanapun, bapanya meninggal dunia ketika beliau masih dalam pengajian namun kursusnya itu dapat dihabiskan selepas lima tahun.

Dr Prabakaran berkata, selepas tamat belajar, beliau terpaksa menunggu lantikan doktor pelatih selama setahun dan memilih untuk berkhidmat di Sabah sebelum berjaya menyempurnakan latihan itu dalam tempoh dua tahun.

Menurutnya, selepas mula berkhidmat menerusi lantikan kontrak, ibunya mulai sakit dan permohonan cuti rehatnya untuk menjaga ibu gagal ekoran jawatannya sebagai pegawai perubatan kontrak.

Katanya, ibunya yang sebelum itu terpaksa menjalani pembedahan dan mendapatkan rawatan kemoterapi serta radioterapi akhirnya meninggal dunia selepas dijangkiti Covid-19.

"Selepas beberapa bulan, (Menteri Kesihatan), Khairy (Jamaluddin) umumkan ada peluang untuk (doktor kontrak) diserap ke jawatan tetap. Aku pun sedikit gembira lalu mohon.

"(Tapi) keputusannya (yang diterima) tidak melepasi tapisan. Disuruh cuba tahun depan. Laman web tidak beri panduan untuk mengisi borang. Dah isi maklumat yang tepat pun masih kata tak isi," katanya.

Dr Prabakaran memberitahu, perkara itu membuatkannya hampir putus asa namun dikuatkan dirinya kerana mengenangkan pengorbanan mendiang kedua orang tuanya.

"Nak terus bermotivasi pun kontrak makin dekat tarikh luput. Susah sangat ke nak bagi jawatan kepada pegawai perubatan? Elaun parkir menteri dah lebih tinggi dari gaji doktor sebulan.

"Belum pernah aku terfikir nak ke luar negara, memori bersama mak ayah aku masih banyak di sini. Tahniah kepada semua yang melepasi tapisan," katanya.

Pada Februari lalu, Khairy mengumumkan sebanyak 8,686 jawatan tetap tambahan membabitkan pegawai perubatan, pergigian dan farmasi akan diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang tempoh 2022 sehingga 2025.