'Kerajaan buatlah sesuatu bantu doktor kontrak' - Khairy

Khairy ketika siaran podcast 'Keluar Sekejap' pada Isnin.
Khairy ketika siaran podcast 'Keluar Sekejap' pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berharap kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk membantu doktor kontrak di negara ini.

Tegasnya, meskipun mustahil untuk memenuhi semua tuntutan kumpulan berkenaan yang mahukan supaya mereka diserap ke jawatan tetap, namun ada penyelesaian lain yang boleh diambil.

Sebagai contoh katanya, kerajaan perlu menunjukkan bahawa ada usaha ke arah untuk menambah baik keperluan dan hak mereka sesuai dengan tanggungjawab yang dijalankan.

"Saya tahu kemampuan menteri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana saya pernah berada di tempat itu dan saya sedar kita tidak mampu tunaikan tuntutan doktor kontrak 100 peratus tetapi kita kena tunjuk ada usaha ke arah itu.

"Kita boleh bantu memberi sedikit kelegaan kepada mereka seperti tambah elaun oncall, beri cuti tambahan, tambah lantikan tetap untuk setahun dan sebagainya.

"Buatlah sesuatu yang membolehkan doktor kontrak rasa suara mereka didengari," katanya melalui siaran podcast 'Keluar Sekejap' episod kesembilan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.

Sinar Harian melaporkan doktor kontrak merancang melakukan mogok selama tiga di seluruh negara bermula Isnin, susulan dikatakan kecewa dan tertekan dengan sistem penjagaan kesihatan negara.

Melalui akaun Instagram 'Mogok Doktor Malaysia' setakat Ahad, mereka merancang meneruskan mogok berkenaan dengan mengambil cuti sakit dan cuti kecemasan tetapi tidak membabitkan perhimpunan.

Sementara itu, Khairy dalam masa sama turut menyatakan sokongan terhadap doktor kontrak kerana kumpulan itu berhak memperjuangkan hak mereka.

"Pesanan saya kepada doktor kontrak yang sedang mogok, perjuangkan hak anda," katanya.

Bagaimanapun beliau dalam masa sama berharap agar kumpulan itu tidak akan meninggalkan KKM.