Sabah mahu kerajaan pusat kreatif tangani isu minyak sawit

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

SANDAKAN – Kerajaan Sabah mahu kerajaan pusat menjadi lebih kredit dan berinovasi dalam mencari alternatif untuk menyelesaikan isu berkaitan eksport minyak sawit.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata dasar dan pendekatan baharu amat diperlukan memandangkan cabaran dihadapi eksport minyak sawit ke pasaran antarabangsa khususnya Eropah, memberi kesan kepada penurunan harga.

“Kalau mereka tidak mahu beli minyak sawit sebagai minyak makan, (tidak apa) kita masih proses sawit itu, bukan jadi minyak masak, tetapi jadi biodiesel.

"Saya berpendapat kalau kita eksport biodiesel, orang tidak bantah. Saya harap kerajaan pusat boleh mencari pendekatan baharu dan menjadi lebih kreatif,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pelancaran Dasar Hutan Sabah 2018 di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata alternatif lain adalah meningkatkan perdagangan dua hala dengan negara Eropah berasaskan pertukaran barangan.

"Misalnya, kita beli alat ganti jet, alat ganti kapal selam, senjata atau lain-lain dari Perancis, Jerman serta United Kingdom dan kerjasama dagangan ini ditingkatkan.

"Sampai waktu, kita cadangkan bahawa kita membayar bukan dalam bentuk ringgit atau tunai, namun kita bayar dengan minyak sawit. Kalau beli alat ganti kapal selam, kereta api dari China, kita cadangkan kepada mereka bahawa kita akan bayar dengan biodiesel," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu kreatif agar negara tidak terus bergantung dengan hasil pendapatan sedia ada dalam menghadapi penurunan harga komoditi dan hutang yang perlu diselesaikan tahun depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!