Penyelam hilang: Tumpu cari seorang lagi mangsa

Aset udara yang digunakan untuk mengesan kesemua mangsa kejadian yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu.
Aset udara yang digunakan untuk mengesan kesemua mangsa kejadian yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu.
A
A
A

MERSING - Pasukan Cari dan Menyelamat (SAR) akan memberikan tumpuan sepenuhnya bagi mengesan seorang lagi warga Eropah yang masih hilang ketika melakukan latihan selaman di Pulau Tokong Sanggol di sini, pada Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysian (Maritim Malaysia) Zon Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, operasi pencarian juga akan diubah berdasarkan penemuan dua mangsa terbaru.

Menurutnya, mangsa yang masih hilang ialah warga Britain dikenali Nathen Renze, berusia 14 tahun yang juga anak kepada mangsa yang ditemui awal pagi Sabtu.

Beliau berkata, pencarian juga akan melibatkan jumlah anggota dan aset pencarian yang sama sejak operasi menyelamat itu dilaksanakan pada Rabu.

"Sepatutnya hari ini (Sabtu) kawasan pencarian ditumpukan di bahagian Tenggara Johor tetapi diubah ke Selatan Pengerang.

"Kita turut membuat hebahan kepada kapal dagang dan bot nelayan jika ada sebarang penemuan," katanya kepada pemberita di Bandar Mersing di sini, pada Sabtu.

Dua mangsa ditemui kira-kira jam 1 pagi Sabtu iaitu lelaki warga Britain, Adrian Peter Chester, 46 dan wanita Perancis, Alexandra Molina, 18 yang diselamatkan oleh nelayan tempatan di perairan selatan Pengerang.

Sebelum itu, pada Khamis mangsa pertama diselamatkan ialah seorang wanita warga Norway dikenali Kristine Grodem, 35, ditemui kira-kira 30 batu nautika oleh kru bot tunda dalam perjalanan ke Indonesia.

Artikel Berkaitan:

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua penyelam ini melibatkan lima pesawat udara iaitu dua helikopter dan tiga pesawat masing-masing satu milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Aset di permukaan laut melibatkan 11 bot daripada pelbagai agensi selain aset laut milik orang awam dan nelayan tempatan.