Rakyat dipastikan tidak terkesan kenaikan kos pengeluaran makanan

Dr Ronald Kiandee (dua dari kiri) menyaksikan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim menyampaikan zakat daripada pejabat Parlimen Beluran dan Pertubuhan Peladang Kawasan Beluran kepada golongan asnaf pada majlis berbuka puasa bersama petani, peladang, penternak dan Nelayan daerah Telupid pada Jumaat. - Foto Bernama

A
A
A

TELUPID - Kerajaan akan memastikan rakyat tidak terkesan berikutan kenaikan kos pengeluaran makanan pada masa ini, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Beliau berkata, kenaikan kos itu antara lain disebabkan penutupan sempadan semasa pandemik Covid-19 dan konflik yang berlaku di luar negara namun bekalan makanan negara pada masa ini masih stabil.

"Kita juga bersyukur kerana sehingga kini kita tidak berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan meskipun berhadapan dengan peningkatan kos pengeluaran bahan makanan," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama ahli Lembaga Pertubuhan Peladang Kampung Gambaron di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata, Fasa Peralihan ke Endemik diharap dapat membangunkan semula masyarakat peladang di luar bandar, justeru masyarakat peladang juga terus dibantu bagi meningkatkan tahap sosioekonomi mereka.

"Kita bertuah tahun ini ibadah puasa dapat diamalkan dengan lebih terbuka, aktiviti masjid dapat dijalankan kerana kejayaan kerajaan dalam menangani Covid-19 yang sedikit sebanyak telah menampakkan hasil melalui pelbagai program,” katanya.

Beliau berkata, rakyat negara ini bertuah kerana kemampuan negara memasuki Fasa Peralihan ke Endemik susulan kejayaan kerajaan dalam menangani Covid-19 antaranya program vaksinasi yang membolehkan ekonomi dan sempadan negara dibuka semula serta pergerakan rakyat lebih bebas seperti sediakala.- Bernama

Artikel Berkaitan: