ASTAF hantar notis kepada Mohd Nasri

Laporan Sinar Harian 2 April lalu. Gambar kecil: Abdul Halim
Laporan Sinar Harian 2 April lalu. Gambar kecil: Abdul Halim
A
A
A

PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (ASTAF), pada Jumaat menegaskan telah menghantar notis pertuduhan kepada Mohd Nasri Haron walaupun Presiden Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES) tersebut mendakwa masih belum menerimanya.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, notis pertuduhan itu telah pun dihantar kepada Mohd Nasri pada 26 Mac lalu.

Malah, menurut Abdul Halim, notis pertuduhan itu turut dihantar menerusi emel peribadi Mohd Nasri selain emel pejabat PERSES.

“ASTAF tetap berpendirian kekal yang kami sudah menghantar emel kepada kamu berhubung pertuduhan itu menerusi emel peribadi termasuk juga emel pejabat PERSES masing-masing pada 26 Mac 2022 pada jam 12.50 pagi dan 1.08 pagi.

“Kami juga mengikuti rapat dari satu sesi temuramah media antara kamu dan sebuah syarikat media dari Malaysia yang menyatakan kamu tidak menerima pertuduhan berkenaan. Temuramah itu kemudian di siar pada 5 April 2002 pada 6.22 petang.

“Namun, atas semangat Ramadan sebagai bulan suci umat Islam, ASTAF bersetuju untuk sekali lagi menghantar notis pertuduhan itu memandangkan ASTAF melihat jawapan kamu adalah penting untuk memastikan pertuduhan dijawab dan keadilan serta ketertiban dapat dipelihara.

“Dengan ini, ASTAF menghantar semula notis pertuduhan dengan tarikh kuat kuasa bermula dari surat ini dihantar. Pertuduhan ini dihantar menerusi emel termasuk juga pos berdaftar,” katanya.

Abdul Halim berkata demikian bagi merujuk kenyataan Mohd Nasri yang mengatakan dirinya masih belum menerima notis pertuduhan daripada ASTAF setelah dikenakan penggantungan badan induk berkenaan 1 April lalu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mohd Nasri, surat yang ada hanyalah surat ditujukan kepada Timbalan Presiden PERSES, Shahril Abdul Gani dan Setiausaha Agung, Zahid Abdul Aziz bagi memaklumkan dia (Mohd Nasri), dilarang terbabit sebarang aktiviti sepak takraw dan semua jawatan disandangnya perlu dilucutkan.

Untuk rekod, Mohd Nasri dikenakan penggantungan setelah didakwa berkomplot dengan bekas Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail untuk mencemarkan reputasi ASTAF menjelang Kongres Pemilihan Majlis ASTAF bagi penggal 2021/2025 pada 1 Mac tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung ASTAF, Boonchai Lorhpipat dalam satu kenyataannya berkata, notis bertarikh 26 Mac sudah pun dihantar kepada Mohd Nasri yang juga bekas Naib Presiden ASTAF berasaskan pertuduhan beliau menyalahi undang-undang kecil ASTAF berhubung tatatertib dan/atau penyalahan Perlembagaan ASTAF dan/atau Perbuatan Salah Laku.

“Mohd Nasri mempunyai 14 hari dari tarikh penerimaan notis berkenaan untuk menjawab secara bertulis dan selepas itu Jawatankuasa Tatatertib ASTAF akan menimbangkan dan mengadili perkara itu dengan sewajarnya,” katanya.