Kadar jenayah berulang bekas banduan 14.97 peratus

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

LABUAN - Kadar residivis atau jenayah berulang oleh bekas banduan seluruh negara masih terkawal iaitu sebanyak 14.97 peratus, kata Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Beliau berkata, angka tersebut menunjukkan bahawa bagi setiap 100 banduan yang dibebaskan, lebih kurang 15 orang memasuki penjara semula dalam tempoh tiga tahun.

"Kadar ini sangat berbeza dengan mereka yang diberikan peluang meneruskan program pemulihan dalam komuniti sebelum dibebaskan, yang merekodkan hanya 0.38 peratus, iaitu bagi 260 orang yang dibebaskan hanya seorang sahaja yang masuk semula ke penjara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Komisioner Jeneral Penjara Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, di Auditorium Mini Anjung Budaya Perbadanan Labuan di sini pada Jumaat.

Nordin berkata, Jabatan Penjara Malaysia kini meningkatkan usaha dalam menjayakan program pemulihan dalam komuniti yang dilihat lebih berkesan berbanding pemulihan dalam fasiliti atau penjara.

Katanya, tidak semua banduan layak menjalani program pemulihan dalam komuniti dan penilaian dibuat berdasarkan risiko banduan itu terhadap komuniti.

"Daripada penilaian, kita memberi kelayakan hanya kepada banduan berisiko rendah dan adanya kesesuaian banduan ini menjalani pemulihan dalam komuniti.

"Kita akan bantu mereka ini mendapatkan pekerjaan dan selepas ada kemudahan tempat tinggal, barulah kita lepaskan mereka dengan penyeliaan anggota kita,” jelasnya.

Nordin berkata, program pemulihan dalam komuniti dilihat efektif susulan ramai bekas banduan telah memperoleh pekerjaan dengan menerima jumlah gaji dan faedah lain yang sama dengan pekerja bukan banduan lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, program tersebut juga mampu mengurangkan kesesakan penjara seluruh negara yang kini telah mencecah 12 peratus melebihi kapasiti.

"Usaha sedang dijalankan untuk meningkatkan kapasiti penjara kepada 11,000 orang berbanding kapasiti sedia ada, bagi menampung kemungkinan peningkatan jumlah banduan akan datang, setakat hari ini, kita ada lebih kurang 70,000 banduan di penjara seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Penjara Malaysia menghadapi kekangan kakitangan serta pejabat parol dan khidmat komuniti daerah dalam melaksanakan program pemulihan dalam komuniti.

"Kita sepatutnya ada 156 pejabat operasi daerah (parol dan khidmat komuniti) di seluruh negara, tetapi buat masa ini kita hanya ada 52 pejabat, ini bermakna satu pejabat parol terpaksa menjaga tiga daerah,” katanya.

Sementara itu, katanya, pesalah di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan denda, tidak perlu dipenjara dan boleh dipertimbangkan untuk menjalani program pemulihan dalam komuniti (khidmat masyarakat) dengan kerjasama pelbagai agensi terutama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).- Bernama