KBSS sedia jadi rakan strategik KWSP bantu atlet ada simpanan

Ellron (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Sabarudin dalam kunjungan hormat di pejabatnya di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
Ellron (empat dari kiri) menerima cenderahati daripada Sabarudin dalam kunjungan hormat di pejabatnya di Wisma Muis, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) sedia menjadi rakan strategik kepada Kumpulan Wang Simpanan (KWSP) menerusi program i-Saraan atau caruman sukarela bagi membantu atlet mencarum untuk simpanan di masa hadapan.

Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata, usaha itu merupakan satu langkah yang baik bagi menjamin masa depan golongan atlet terutama mereka yang sudah bersara.

"Kita melihat kolaborasi ini juga merupakan satu peluang untuk kita ketengahkan i-Saraan kepada atlet di negeri ini memandangkan ada dalam kalangan mereka yang sudah bersara tidak mempunyai simpanan tetap bagi menjamin hidup di masa depan.

"Kementerian saya amat mengalu-alukan usaha ini kerana ia amat bermanfaat khususnya untuk atlet sukan dan golongan belia di negeri ini," katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada pihak KWSP Sabah di pejabatnya di Wisma Muis, pada Khamis.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan hasrat terbabit, satu jawatan kuasa akan diwujudkan di peringkat kementerian dan mesyuarat akan diadakan dengan wakil persatuan sukan di negeri ini untuk membincangkan keperluan caruman itu kepada atlet.

Sementara itu, Ketua Cawangan KWSP Sabah, Sabarudin @ Sabree Hassan yang mengetuai kunjungan itu berkata, melalui i-Saraan, ahli akan menerima dividen tahunan sehingga 15 peratus setahun atau sehingga jumlah maksimum RM250 setahun.

"Pencarum turut diberikan insentif khas serta pelepasan cukai dan bantuan kematian. Selain itu, amaun caruman sukarela maksimum RM60,000 setahun dan ahli boleh mencarum pada bila-bila masa," katanya.

Artikel Berkaitan: