Pengedar diberkas, dadah bernilai RM12,600 dirampas

Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada Rabu.
Dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki disyaki pengedar dadah ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Jalan Klang Lama di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, lelaki berusia 38 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 10.15 malam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan polis merampas dadah jenis ketamin anggaran berat 19.9 gram dan methylenedioxy methamphetamine (MDMA) seberat 214.43 gram yang dianggarkan bernilai RM12,600 serta wang tunai RM412.

"Suspek terlibat dalam aktiviti dadah sejak dua tahun lalu dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan kes pecah amanah.

"Ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis ketamin," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Katanya, suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, Amihizam berkata, pihaknya masih lagi menjalankan risikan serta siasatan bagi mengenalpasti ahli sindiket yang terlibat dan sumber bekalan dadah yang diperoleh.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 03-22979222 sambungan 553 bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: