9 pengedar dicekup, dadah RM274,482 dirampas

Mohd Shuhaily (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua siri tangkapan pada awal Mei lalu.
Mohd Shuhaily (tiga dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas daripada dua siri tangkapan pada awal Mei lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan sembilan individu termasuk enam warga asing yang merupakan sindiket pengedaran dadah berbeza dalam dua siri tangkapan di Pulau Pinang pada minggu pertama bulan ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan dan rampasan pelbagai jenis dadah tersebut melibatkan nilai keseluruhan RM274,482.

Menurutnya, dalam siri tangkapan pertama, polis menahan sepasang suami isteri di sebuah rumah di bandar ini pada jam 2.30 petang, 2 Mei lalu.

"Suspek lelaki merupakan warga tempatan manakala isterinya warga Vietnam, masing-masing berusia 32 dan 34 tahun. Di rumah tersebut, kita merampas 29 peket mengandungi 613.3 gram serbuk dadah jenis MDMA, 10.80 gram ketamin, 1.59 gram syabu, 30 biji pil ekstasi dan 100 biji pil eramin 5.

"Kesemua dadah ini bernilai RM9,198," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Isnin.

Mohd Shuhaily berkata, susulan daripada penahanan dua suspek tersebut, polis menyerbu sebuah lagi rumah di Air Itam dan menahan sepasang lagi suami isteri warga Vietnam berusia 40 dan 42 tahun.

"Di rumah itu, kita merampas 48.12 gram ketamin, 421.89 gram syabu, 490 biji pil ekstasi dan 240 pil eramin 5. Kesemua dadah tersebut bernilai RM104,296. Selain itu, kita turut menyita dua buah kereta, barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM80,124.

"Jumlah nilai dadah dalam dua serbuan dan sitaan adalah RM193,618. Sindiket ini aktif sejak tahun 2021. Semua suspek direman dan dituduh di mahkamah hari ini (Isnin) mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Dalam siri tangkapan kedua pula, Mohd Shuhaily berkata, tiga lelaki warga Myanmar berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun ditahan di premis mencuci kereta di kawasan Seberang Perai Tengah (SPT) pada jam 5.05 petang, 5 Mei lalu.

"Kita merampas 45 peket plastik mengandungi ketulan mampat ganja bernilai RM146,000. Ketiga-tiga lelaki yang bekerja di premis tersebut berperanan untuk menyimpan kesemua bekalan dadah terbabit.

"Susulan daripada itu, kita menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 34 dan 46 tahun secara berasingan di Perai dan Butterworth pada jam 2 pagi, 6 Mei lalu. Kita merampas enam peket seberat 1.81 kilogram (kg) serbuk dan ketulan heroin bernilai RM14,988," katanya.

Jelas beliau, polis turut menyita dua buah motosikal, barangan kemas dan wang tunai bernilai RM16,200.

"Jumlah dadah yang dirampas dalam siri tangkapan kedua ini adalah RM157,288 dan jumlah keseluruhan rampasan dadah dan sitaan adalah RM173,488. Sindiket ini bergiat aktif sejak awal tahun 2022 yang menyasarkan pasaran di sekitar Seberang Perai Tengah.

"Mereka direman tujuh hari iaitu sehingga 11 Mei ini untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Jelas beliau, daripada sembilan suspek yang ditahan, dua daripadanya termasuk seorang wanita Vietnam positif dadah manakala empat daripada mereka mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah lampau.

Sementara itu, dalam kes berasingan, sepasang kekasih dan seorang rakan wanita mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian samun di luar sebuah kedai dobi di Bukit Tengah, SPT.

Mohd Shuhaily berkata, kesemua suspek berusia awal 20-an itu ditahan selepas seorang warga asing membuat laporan bahawa rantai emas dan telefon bimbitnya disamun oleh seorang lelaki.

"Ketiga-tiga suspek ditahan di sebuah hotel di Butterworth pada jam 5.15 petang, 4 Mei lalu. Suspek menyasarkan warga asing dalam kegiatan mereka. Suspek lelaki positif dadah dan mempunyai enam rekod jenayah manakala dua suspek wanita tiada rekod lampau.

"Semua suspek direman tujuh hari sehingga 11 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.