Jurujual putih mata ditipu 'pegawai LHDN'

Seorang jurujual lelaki kerugian RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.
Seorang jurujual lelaki kerugian RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang jurujual lelaki berputih mata apabila wang dalam akaun bank miliknya berkurang sebanyak RM15,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 30 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai Steven bertugas sebagai pegawai LHDN.

"Steven kemudian memberitahu bahawa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM52,000 iaitu cukai syarikat. Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Lelaki itu memberitahu berkemungkinan maklumat pengadu telah disalah guna oleh individu dan menasihati lelaki berkenaan untuk membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, panggilan telefon mangsa kemudian telah disambungkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan mangsa telah bercakap dengan seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat sarjan bagi membuat semakan dan siasatan.

Mohd Wazir berkata, hasil semakan dibuat, 'sarjan' berkenaan memberitahu mangsa bahawa telah terlibat pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

"Sekali lagi talian telefon mangsa telah disambung kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman. Pegawai polis itu kemudian memberitahu bahawa kes jenayah melibatkan mangsa adalah kesalahan besar. Jika ingin mendapatkan bantuan, mangsa perlu berhubung dengan pegawai polis berpangkat Datuk.

"Datuk tersebut memberikan mangsa pilihan sama ada waran tangkap dikeluarkan atau beliau membuat semakan akaun kerana mangsa dikatakan telah terima wang rasuah dan wang hasil kegiatan jenayah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mangsa yang bersetuju membuat semakan akaun kemudian diminta memuat naik aplikasi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat semakan, namun dia tidak dapat berbuat demikian kerana tidak mempunyai kemudahan perbankan internet.

"Pegawai polis tersebut meminta mangsa pergi ke bank terdekat untuk memohon perbankan internet.

"Mangsa telah pergi ke Public Bank, Tanah Merah dan telah membuat perbankan internet. Selepas itu, mangsa telah mengisi semula maklumat akaun bank dan perbankan internet sebagaimana mana diminta oleh Datuk tersebut," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa telah diberitahu supaya menunggu selama 15 minit dan pegawai terbabit akan menghubunginya semula.

"Mangsa yang berasa curiga dan membuat semakan akaun dapati wang telah berkurangan sebanyak RM15,000.

"Selepas itu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Merah selepas menyedari dia telah ditipu," katanya.