Skandal 1MDB: Roger Ng, rakan subahat cadang beli hartanah utama di UK

Roger Ng - Foto Agensi
Roger Ng - Foto Agensi
A
A
A

BROOKLYN - Bekas jurubank Goldman Sachs yang dituduh terbabit dalam salah satu skandal kewangan terbesar serta skim antarabangsa yang mengakibatkan berbilion dolar diseleweng daripada dana di Malaysia bercadang menggunakan syarikat 'tax haven' (pusat kewangan luar pesisir) untuk membeli hartanah utama di United Kingdom (UK).

Dilimpahi dengan jutaan dolar daripada dana yang disedut daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Ng Chong Hwa atau Roger Ng, 49, isterinya Hwee Bin Lim dan rakan subahat mempertimbangkan untuk membeli beberapa hartanah di London pada 2012 dan 2013 untuk tujuan pelaburan.

Mereka telah membeli beberapa hartanah pilihan sehingga pada satu tahap mempertimbangkan penggunaan sebuah syarikat yang berdaftar di Guernsey - sebuah pulau di luar pantai UK yang terkenal sebagai hab 'tax haven' - bagi memastikan bahawa setiap transaksi kelihatan cekap cukai.

Ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Sean Fern mengesahkan perkara tersebut di dalam keterangannya pada 22 Mac dalam perbicaraan berterusan Ng di Amerika Syarikat (AS), menurut transkrip yang diperoleh oleh The Edge.

Fern mengesahkan surat-menyurat bertarikh 1 Mei 2013 antara seorang jurubank Coutts dan Ng di mana dia mencadangkan pembelian hartanah komersial di UK dibiayai melalui syarikat berdaftar di Kepulauan Channel, selaras dengan nasihat daripada perunding firma KPMG.

Surat-menyurat antara Ng dan KPMG Channel Island Ltd pada Julai 2013 adalah mengenai laporan nasihat cukai berhubung pembelian hartanah di UK melalui syarikat Guernsey turut dibentangkan di mahkamah.

Ng sebelum itu telah menghubungi wakil KPMG bagi bertanyakan mengenai hartanah di Ossington Street di Notting Hill, London.

Dia dan rakan subahatnya berusaha untuk membeli hartanah kediaman atau komersial atau gabungan kedua-duanya.

Artikel Berkaitan:

Ng dituduh bersubahat melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat (AS) dan pengubahan wang dalam komplot untuk mencuri berbilion dolar daripada dana kekayaan 1MDB.

Ng adalah satu-satunya jurubank Goldman Sachs yang dibicarakan dalam kes yang menyaksikan firma itu membayar lebih AS$5 bilion (RM21.05 bilion) penalti global dan unit Malaysianya mengaku bersalah - satu tamparan terbesar kepada Goldman Sachs dalam sejarahnya.

Dia dituduh bersekongkol dengan bekas rakan sejawatnya, Tim Leissner untuk membantu pembiaya Malaysia, Low Thaek Jho (Jho Low), menyeleweng berbilion dolar daripada dana 1MDB menerusi tiga dagangan bon.

Leissner memberitahu juri bahawa dia mengarahkan supaya AS35.1 juta (RM147 juta) daripada dana itu dimasukkan ke akaun di bawah kawalan Bin Lim sebagai sogokan kepada Ng.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan didapati bersalah pada Julai 2020 atas tujuh pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan RM42 juta dana SRC International yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Pada 7 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukumannya dengan panel hakim menyifatkan transaksi ke dalam akaun Najib sebagai 'memalukan negara'.

Najib kini dalam proses rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan. - Agensi