Ahli lembaga pengarah 1MDB tidak pertikai kehadiran Jho Low: Saksi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa, kehadiran ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho dalam mesyuarat pengurusan tertinggi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 2009, tidak dipertikai oleh ahli lembaga pengarahnya.

Tan Sri Ismee Ismail berkata demikian ketika prosiding kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata, mesyuarat berkenaan sepatutnya dihadiri oleh pengurusan tertinggi.

Namun katanya, tiada seorang pun ahli lembaga pengarah 1MDB mempersoal kedatangan ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam mesyuarat sulit berkenaan.

Bagaimanapun, ketika soal balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib, Ismee berkata, Jho Low hanya mendiamkan diri dan pulang sebelum mesyuarat yang diadakan di sebuah hotel di Damansara pada 26 September 2009, berakhir.

Muhammad Shafee: Kamu hadir pada mesyuarat itu, pengerusi juga sepatutnya bertanya bagaimana Jho Low boleh ada, bukankah mesyuarat itu sulit?

Ismee: Tiada seorang pun ahli lembaga pengarah syarikat pertikai dengan kehadirannya.

Muhammad Shafee: Saya ingin menarik perhatian mahkamah berhubung aduan bahawa, nama Jho Low telah dipadam daripada senarai kehadiran.

Artikel Berkaitan:

Ismee: Tanda tangan ringkas Jho Low tidak ditemui dalam senarai kehadiran mesyuarat.

Muhammad Shafee: Siapa lagi yang tanda tangan?

Ismee: Semua ahli lembaga pengarah. Saya tak tahu jika ada pihak yang diberi kuasa untuk memadamkan nama Jho Low.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan penggubahan wang haram yang melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.