Sabah peruntuk RM18.2 juta bantu mangsa kebakaran Tawau, Semporna

Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan kepada salah seorang ketua isi rumah yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di Dewan Masyarakat Tawau pada Rabu. - Foto Bernama
Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Bantuan Wang Ihsan kepada salah seorang ketua isi rumah yang terbabit dalam kebakaran di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di Dewan Masyarakat Tawau pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

TAWAU - Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan RM18.2 juta untuk membantu mangsa kebakaran membina semula rumah dan infrastruktur yang rosak dalam kejadian pada 17 Mac di sini dan pada 2015 di Semporna, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta diperuntuk untuk mangsa warga tempatan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas di sini, manakala RM8.2 juta untuk penduduk tempatan Kampung Bangau-Bangau di Semporna.

"Ini menunjukkan kerajaan kita prihatin dengan nasib mangsa kebakaran yang mengalami kesusahan ketika Ramadan, mudahan bantuan ini akan dapat meringankan bebanan mangsa, jadi inilah tanggungjawab kita untuk memastikan setiap rakyat akan dapat dibantu terutama dalam masa mereka diuji bencana.

"Lebih 1,000 ketua isi rumah yang terjejas dalam kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan akan mendapat manfaat daripada peruntukan ini, dengan 608 ketua isi rumah adalah rakyat tempatan di Tawau,” katanya kepada pemberita selepas program penyerahan sumbangan itu di sini pada Rabu.

Kebakaran rumah di Kampung Kurnia Jaya memusnahkan 658 rumah melibatkan hampir 3,500 mangsa, manakala kejadian kebakaran di Kampung Bangau-Bangau membabitkan 435 rumah dengan 2,768 mangsa.

Hajiji berkata, kerajaan mempunyai perancangan membantu mangsa kebakaran atas air, namun perkara itu kadang akan mengambil masa kerana melibatkan penelitian pelbagai faktor.

"Harapan kita (kerajaan negeri) supaya semua mangsa kebakaran ini mendapat rumah selesa untuk mereka tinggal sekali gus membantu mereka melancarkan kelangsungan hidup," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri juga meluluskan pembayaran bonus RM500 kepada penjawat awam negeri gred N54 dan ke bawah, dan RM250 bagi pesara sempena sambutan Hari Raya dan Pesta Menuai tahun ini dibayar sebelum sambutan tersebut.

Bagi mangsa kebakaran, Nuriati Asarik, 41, yang juga penghidap kanser tahap tiga berterima kasih kepada kerajaan negeri atas bantuan pembinaan semula rumah terbakar di Kampung Kurnia Jaya.

Artikel Berkaitan:

"Bersyukur kerajaan prihatin dengan nasib kami, ini merupakan kali ketiga keluarga saya ditimpa musibah sama iaitu rumah terbakar, kejadian kedua pada 2013 di tempat yang sama juga, dan sebelum itu rumah saya terbakar di Kampung Titingan.

"Ketika ini, saya, suami yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas kaki kiri dipotong, serta empat anak menyewa di Kampung Kurnia Jaya," katanya dalam nada hiba.

Talsam Pamansalang, 63, turut bersyukur atas keprihatinan kerajaan negeri yang memahami keperluan mendesak tempat tinggal untuk rakyat selepas ditimpa musibah.

"Selepas kebakaran itu, saya menumpang tinggal dengan anak di Balung, saya harap rumah itu dapat dibina secepat mungkin," katanya. - Bernama