Muszleem Malaysia agih 11,000 ekor udang galah kepada asnaf

Penerima menerima udang galah sumbangan Muszleem Malaysia sempena Ramadan.
Penerima menerima udang galah sumbangan Muszleem Malaysia sempena Ramadan.
A
A
A

BESUT - Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (Muszleem Malaysia) mengambil inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan berbuka puasa dengan juadah istimewa melalui pelaksanaan Program Udang untuk Asnaf.

Ketua Pegawai Operasi Domestik Muszleem Malaysia, Mohd 'Izzat Mohd Zubir berkata, program agihan udang galah segar itu telah dimulakan pada 1 Ramadan lalu kepada 500 penerima terpilih di empat kawasan di daerah ini.

Menurut beliau, majoriti penerima adalah golongan berpendapatan rendah yang tinggal di sekitar Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut dan Hulu Besut.

“Pada Isnin nanti, kita akan teruskan program ini dengan agihan sebanyak 6,000 ekor udang galah segar pula di sekitar kawasan sama dan ia dijangka memberi manfaat kepada 600 golongan asnaf.

“Ini merupakan tahun kedua kita adakan program agihan udang segar kepada penerima yang layak di bulan Ramadan dengan harapan mereka dapat nikmati hidangan lazat ketika berbuka atau bersahur,” katanya di sini pada Rabu.

Udang galah siap dipek sebelum diagihkan kepada penerima.
Udang galah siap dipek sebelum diagihkan kepada penerima.

Mohd ‘Izzat berkata, selain agihan bahan mentah untuk dimasak sendiri oleh penerima, Muszleem Malaysia yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) aktif dalam bidang kebajikan turut menyumbangkan juadah berbuka puasa.

Katanya, sebanyak 100 bungkus makanan siap dimasak diagihkan secara percuma kepada orang ramai pada setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Artikel Berkaitan:

“Agihan diadakan di depan pejabat Muszleem Malaysia mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Muszleem Malaysia sentiasa peka dan prihatin dengan golongan kurang berkemampuan dan kita harap sumbangan ini dapat menceriakan mereka menyambut Ramadan sekaligus turut memberi peluang kami mencari pahala,” katanya.