Kesihatan mental: Anjur jelajah, seminar beri penerangan

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mengadakan program 'Jelajah Kesihatan Mental' bagi meningkatkan kesedaran rakyat tentang perkara tersebut.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, menerusi program jelajah dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia itu, ia akan diadakan di 20 tempat terpilih khusus bagi memberi kefahaman kepada masyarakat.

Beliau berkata, dalam setiap program itu terdapat ujian 'depression, anxiety, stress, skill' atau DASS yang akan dilakukan ke atas pengunjung atau orang awam bagi melihat simptom dua minggu ke belakang bagi menentukan sama ada seseorang itu mengalami kemurungan, kerisauan atau tekanan.

Menurutnya, dari situ pakar-pakar kaunselor atau klinikal boleh menentukan apakah langkah seterusnya yang boleh diambil sebelum individu terlibat dirujuk kepada pakar psikiatri.

"Sebelum kita bercakap soal rawatan dan kaunseling, rakyat kena faham bahawa kesihatan mental sama seperti masalah kesihatan lain yang boleh terjejas.

"Jadi penerangan menerusi program ini penting untuk menolak sindrom penafian di kalangan masyarakat tentang perkara ini," katanya memberitahu terdapat perbezaan antara kesihatan mental dan sakit mental.

Beliau menjawab demikian susulan soalan tambahan dikemukakan Michelle Ng Mei Sze (DAP-Subang Jaya) berhubung langkah diambil kerajaan negeri dalam menangani isu kesihatan mental di Selangor.

Siti Mariah yang juga ADUN Seri Serdang berkata, kebanyakan masyarakat tidak mahu mengaku mereka mempunyai masalah kesihatan mental kerana takut dikatakan gila atau perlu berjumpa pakar psikiatri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain program jelajah itu, pihaknya turut mengadakan seminar 'lay counsellors' bagi menangani isu kesihatan mental.

"Kursus ini kita fokuskan kepada kakitangan barisan hadapan kerajaan negeri yang sentiasa berhadapan dengan masyarakat.

"Pada tahun 2018, kita menganjurkan dua kursus “lay counsellors” kepada penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) dan Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM), sementara bagi 2019 lima kursus sama dirancang untuk diberikan kepada beberapa kumpulan barisan hadapan kerajaan termasuk ketua kampung, penyelaras PeBT, pegawai khidmat pelanggan dan ahli majlis," katanya.

Menurutnya, kursus itu akan dijalankan oleh kaunselor yang bertauliah dan modul yang akan disampaikan adalah bertepatan dengan bidang tugas kumpulan tersebut.