Kes rasuah Rosmah: Mahkamah benar pendakwaan fail hujahan tambahan

ROSMAH
ROSMAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membenarkan permohonan pendakwaan bagi kes rasuah projek hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor, memfailkan hujahan tambahan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn berkata, 22 April ini ditetapkan untuk pendakwaan memfailkan hujahan tambahan.

“Hujahan balas daripada pembelaan pula pada 12 Mei depan manakala sebutan kes, ditetapkan pada tarikh sama,” katanya, selepas prosiding yang diadakan dalam kamar Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Prosiding itu turut dihadiri peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri.

Pada 18 Februari 2021, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Rosmah membela diri atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar bagi 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah, 71, dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Beliau didakwa menerima rasuah itu melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion.

Dalam kes ini, Rosmah diwakili barisan peguam antaranya, Datuk Jagjit Singh dan Datuk Akberdin Abdul Kader sementara Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pihak pendakwaan.

Artikel Berkaitan: