Adakah debat sudah jadi budaya politik Malaysia?

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LEBIH kurang 10 tahun lalu, acara debat antara pemimpin dilihat merupakan perkara asing dalam politik negara.

Malah, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, meskipun tidak menolak debat secara menyeluruh, namun beliau menyatakan bahawa ia bukanlah budaya yang diamalkan dalam sistem politik di Malaysia.

Najib berkata demikian ketika mengulas mengenai cabaran debat yang dilontarkan oleh Ketua Pembangkang ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun begitu, bergerak 10 tahun ke hadapan iaitu pada 2022, perdebatan antara pemimpin politik negara kini dilihat sudah semakin diterima.

Antara pemimpin politik yang telah turun ke gelanggang debat baru-baru ini ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan pemimpin DAP, Lim Guan Eng yang berdebat mengenai Dasar Kabotaj Negara.

Sementara itu, pada Isnin, politik negara berkemungkinan bakal menyaksikan perdebatan bersejarah antara pemimpin politik utama negara membabitkan Anwar dan Najib berkaitan isu keperluan menyelamatkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sapura Energy Bhd (SEB).

Jika pada tahun 2012, individu yang mengajak debat adalah Anwar, namun kini sebaliknya yang berlaku apabila Najib pula yang dilihat meminta untuk berdebat dengan Anwar yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

Pada Ahad, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan telah menyahut cabaran debat bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mengenai cadangannya supaya kerajaan menyelamatkan SEB.

Artikel Berkaitan:

Ajakan untuk berdebat oleh Rafizi itu dilakukan selepas kedua-dua pemimpin tersebut dilihat saling berbalas hujah dan hantaran di sosial media berkaitan isu tersebut sejak hampir dua minggu lalu.

Najib bagaimanapun turut meminta Rafizi yang baru sahaja kembali aktif berpolitik untuk turut mengajak ketuanya, iaitu Anwar yang merupakan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Susulan daripada itu, Anwar pada Isnin telah menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan Najib pada bila-bila masa.

Kata Anwar, sikapnya jelas dan tidak berganjak sejak lebih 10 tahun yang lalu apabila pernah melontarkan cabaran yang serupa kepada Najib.

Mengulas mengenai kesediaan Anwar, Najib tanpa menunggu lama telah menyatakan persetujuannya pada hari sama dan meminta Anwar serta Rafizi mengaturkan bersama pihak media yang berhasrat mahu mengadakan siaran langsung mengenai perkara terbabit.

Tentunya, perkembangan ini merupakan sesuatu yang positif untuk politik negara sekali gus memberikan lebih ruang kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap idea dan dasar yang mahu dikemukakan serta dilaksanakan oleh pemimpin negara.