Kekurangan pekerja, restoran mamak belum mampu beroperasi 24 jam

KUALA LUMPUR - Kekurangan pekerja menyebabkan banyak premis perniagaan termasuk kedai makan masih tidak dapat beroperasi 24 jam walaupun boleh berbuat demikian selepas negara memasuki Fasa Peralihan Ke Endemik mulai Jumaat lepas.
Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara mendapati kebanyakan pengusaha restoran mamak yang sering menjadi tempat ‘lepak’ orang ramai selepas tengah malam lebih selesa mengekalkan waktu operasi sekurang-kurangnya setakat jam 2 pagi.
Presiden Persatuan Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, situasi itu disebabkan kebanyakan pengusaha restoran mamak tidak mempunyai pekerja mencukupi untuk menampung operasi walaupun terdapat permintaan tinggi lebih-lebih lagi di bulan Ramadan.
"Permintaan memang ada lebih-lebih lagi bulan puasa untuk sahur dan sebagainya, cuma dalam kalangan pengusaha ada kekangan tidak cukup pekerja kerana ramai yang balik ke negara asal semasa Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia sebelum ini," katanya kepada Bernama pada Isnin.