Sembilan ditahan terlibat pergaduhan di Tawau

Jasmin
Jasmin
A
A
A

TAWAU - Seramai sembilan lelaki ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan dan samun di luar sebuah premis di Kabota Square di sini, pada tengah malam Ahad.

Kejadian pergaduhan yang berlaku kira-kira jam 12 tengah malam itu turut mendapat perhatian netizen selepas video pergaduhan itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, polis menerima laporan polis berhubung kes merusuh dan samun di kawasan berkenaan.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati selepas pengadu lelaki berusia 23 tahun memandang suspek ketika di dalam premis sehingga membawa kepada pergaduhan di luar premis terbabit.

"Ketika kejadian itu, pengadu menyedari bahawa rantai emas miliknya hilang disyaki ditarik oleh salah seorang suspek," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Isnin.

Kata beliau, dalam kejadian itu dua individu cedera ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Tawau.

"Hasil siasatan dan tindakan segera yang dijalankan, polis berjaya membuat tangkapan terhadap sembilan lelaki warga tempatan berusia antara 20 dan 42 tahun yang dikenal pasti terlibat kejadian itu.

"Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk mendapatkan perintah reman. Enam daripada suspek terbabit direman selama empat hari manakala dua lagi direman dua hari dan seorang suspek dibenarkan direman sehingga petang ini sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jasmin berkata, seorang lagi suspek yang masih bebas sedang dikesan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memaklumkan kepada polis berkaitan kes itu yang disiasat di bawah Seksyen 147 dan 394 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, video berdurasi satu minit 52 saat itu dipercayai dirakam individu yang berada di lokasi dan memaparkan seorang mangsa dibelasah oleh sekumpulan lelaki di luar premis kawasan berkenaan.