X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Penjelasan isu alam sekitar, elak pembangkang guna fakta tidak tepat

Mohd Sharkar berucap ketika merasmikan Seminar mitigasi banjir: Strategi untuk kelestarian alam sekitar anjuran UCYP secara maya di Dewan Yayasan Pahang di sini pada Isnin.
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang akan memberi penjelasan kepada rakyat mengenai bencana banjir yang berlaku baru-baru ini, bagi mengelakkan pembangkang menggunakan persepsi tidak tepat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, maklumat itu akan disampaikan melalui seminar hibrid mitigasi banjir sekurang-kurangnya dapat mengelakkan rakyat daripada mempercayai maklumat tidak betul yang disebarkan pembangkang.

Menurutnya, menerusi penjelasan itu, rakyat boleh menilai fakta tepat mengenai bencana khususnya di Bentong apabila panel penyelidik dari institusi pengajian tinggi, Kementerian Alam Sekitar dan Air mendedahkan hasil dapatan serta pemerhati melalui seminar itu.

"Isu alam sekitar adalah besar kepada saya dan ia akan digunakan oleh pembangkang terutama ke atas kepimpinan Pahang ketika menghadapi PRU15. Kita mesti membuat persediaan memberikan pendedahan awal bahawa isu ini adalah bencana.

"Kita tidak mahu perkara tidak benar dijadikan sebagai benar. Sebab itu, kita bekerjasama dengan Kolej Universiti Yayasan Pahang (UCYP) untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai hal sebenar yang berlaku dan mencari penyelesaian bagi mengatasinya (banjir)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Mitigasi Banjir: Strategi untuk kelestarian alam sekitar anjuran UCYP secara maya di Dewan Yayasan Pahang di sini pada Isnin.

Hadir sama, Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin.

Seminar ini bertujuan mengupas isu bencana banjir, merungkai dan mencari solusi daripada pakar-pakar alam sekitar yang dihadiri 150 peserta secara fizikal dan 350 peserta secara dalam talian.

Mohd Sharkar menjelaskan penganjuran seminar ini adalah tepat pada waktunya untuk mencari penyelesaian dan mendengar pandangan-pandangan daripada pakar-pakar yang mengetahui tentang kejadian bencana banjir yang berlaku saban tahun di Pahang.

Tambah beliau, seminar ini juga berperanan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap situasi sebenar banjir yang berlaku terutama apabila kerajaan Pahang terpaksa berhadapan tohmahan-tohmahan daripada pihak tidak bertanggungjawab.

"Jadi sebab itulah kita mengumpulkan cendekiawan-cendekiawan yang ada pada hari ini (Isnin) kita dengar sendiri apakah sebenarnya yang berlaku dan bagaimanakah cara untuk mengatasinya kerana isu alam sekitar merupakan isi yang besar," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan Pahang di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail sangat serius dalam ini dan sudah mengambil beberapa langkah bagi menjaga kelestarian alam sekitar.

"Kita telah pun meluluskan rang undang-undang iaitu Majlis Biodiversiti untuk memastikan kerajaan dapat menjaga alam flora dan fauna di negeri ini.

"Pada masa yang sama juga, kita berusaha mempersiapkan pelan strategi alam sekitar untuk menghadapi masa-masa mendatang," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!