'Orang UMNO mahu kerjasama Bersatu perlu nilai tindakan Muhyiddin'

Gambar kanan: Tangkap layar hantaran Facebook Ahmad Zahid pada Isnin.
Gambar kanan: Tangkap layar hantaran Facebook Ahmad Zahid pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Individu dalam UMNO yang masih mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu menilai sendiri tindak tanduk politik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa terdesak ingin kembali menjadi Perdana Menteri (PM).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun UMNO tidak sempurna, tetapi mereka tidak menjual prinsip semata-mata untuk kuasa.

“Kepada mana-mana pihak dalam UMNO yang masih mahu bekerjasama, mempercayai dan mempertahankan Bersatu, mereka harus menilai sendiri segala tindak tanduk politik dan tabiat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu ini yang begitu terdesak mahu kembali jadi PM.

“Mahukah kita terus bekerjasama dengan parti sedemikian?

“UMNO ini tidak sempurna. Tetapi kita tidaklah terdesak, menjual prinsip dan sanggup melakukan apa sahaja semata-mata mahu menebus malu dan menggenggam kuasa,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Tambah Ahmad Zahid, perjumpaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad disebabkan atas kepentingan peribadi.

Beliau berkata, tindakan tersebut membongkar niat sebenar Muhyiddin yang didakwa ingin kembali menjadi Perdana Menteri.

“Presiden Bersatu dilaporkan mahu kembali menjadi PM dan mahu kerjasama dengan Parti Pejuang.

Artikel Berkaitan:

“Kita fikir mereka berdiri atas ideologi. Rupa-rupanya semua demi kepentingan peribadi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Muhyiddin juga dikatakan ada mengadakan pertemuan dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menghubungi Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Presiden Bersatu juga dilaporkan mengadakan pertemuan dengan presiden PKR baru-baru ini walaupun tidak ada butiran lanjut.

“Begitu juga Shafie Apdal mengakui beliau dihubungi oleh Pengerusi Perikatan Nasional yang dipercayai berkaitan dengan bentuk kerjasama yang boleh dilakukan dalam pilihan raya umum pada masa akan datang.

“Namun Shafie Apdal dilaporkan sudah memberikan kata putus menolak permintaan tersebut selepas pengkhianatannya dalam Pakatan Harapan (PH),” jelasnya.