Muhyiddin jumpa Tun M lebih kepada kepentingan peribadi: Nazri

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi lebih kepada kepentingan peribadi bukan untuk rakyat dan negara.

Memetik laporan Astro Awani, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyifatkan Muhyiddin sebagai terdesak kerana mahu menyelamatkan projek-projek beliau yang mungkin telah dibatalkan oleh kerajaan sedia ada.

Tambahnya, malah, beliau menganggap Muhyiddin sebagai seorang individu yang tidak mempunyai maruah kerana sanggup meminta sokongan daripada individu yang pernah dikhianati sebelum ini.

Mohamed Nazri mengakui sangat terkejut apabila mendapat tahu Muhyiddin sanggup berjumpa Tun Dr Mahathir Mohamad dan meminta sokongan untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

"Muhyiddin ini terbukti muka tebal sebab sanggup pergi minta sokongan daripada Tun Mahathir yang pernah beliau khianati sebelum ini untuk mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri.

"Pada saya perbuatan Muhyiddin ini adalah sangat tidak normal kerana bagi manusia biasa yang mempunyai maruah dan integriti adalah sukar untuk melakukan perkara ini,“ katanya pada Ahad.

Pada Jumaat, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin bertemu beliau untuk mendapatkan sokongan dalam usahanya untuk kembali menjadi Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Mohamed Nazri juga menjangkakan hasrat Muhyiddin untuk kembali menjadi Perdana Menteri akan gagal kerana tindakan itu dibuat atas kepentingan peribadi bukan demi rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kalau Muhyiddin dan parti-parti pembangkang yang lain bergabung dan mahu mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional kerana mereka rasa lebih bagus mungkin akan dimakbulkan Tuhan.

"Tetapi kalau nak jatuhkan UMNO yang merupakan parti keramat atas sebab kepentingan peribadi, kerana nak selamatkan projek seperti Digital Nasional Berhad, saya rasa ianya akan gagal.

"Dan saya pelik juga sebab sebelum ini, masa Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, Muhyiddin acapkali ulang beliau tidak berhasrat nak jadi Perdana Menteri tetapi pergi minta sokongan pihak lain untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi, ini nak kata tidak ada hasrat atau macam mana?" soal beliau.