Persiapan ibadah diutamakan pada Ramadan

Para pelanggan memilih barangan basah sebagai persiapan Ramadan pada Ahad. (Gambar kecil: Noriha, Salina, Najiha)
Para pelanggan memilih barangan basah sebagai persiapan Ramadan pada Ahad. (Gambar kecil: Noriha, Salina, Najiha)
A
A
A

KOTA BHARU - Ada umat Islam yang lebih memilih pengisian rohani pada Ramadan tahun ini berbanding berbelanja berlebihan dalam persiapan berpuasa.

Seorang suri rumah, Noriha Abdul Kadir, 52, berkata, setelah dua tahun tidak dapat menunaikan solat sunat tarawih di masjid akibat pandemik Covid-19, tahun ini adalah peluang yang tidak akan dilepaskan untuk berbuat demikian.

“Saya pilih bersedia untuk memperkuatkan dari segi rohani dan tidak sabar untuk mengerjakan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid.

“Bagi persiapan makanan untuk berbuka pula cukup membeli keperluan makanan seperti hari biasa sahaja,” katanya ketika ditemui di Mydin Tunjong di sini pada Sabtu.

Sementara itu, seorang ibu empat anak, Salina Salleh, 44, berkata, persiapan membeli barangan makanan basah untuk dimasak pada bulan Ramadan dibuat saat akhir pada Sabtu.

“Walaupun bekerja, bebanan tetap terasa kerana anak-anak bersekolah dengan tempoh jarak yang dekat.

“Baru-baru ini habis berbelanja untuk buka sekolah, dan sekarang untuk berpuasa serta selepas ini belanja untuk Aidilfitri pula.

“Semua memerlukan duit dan perkara penting diutamakan terlebih dahulu manakala belanja pula perlu berpada-pada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi wanita, Najiha Zakaria, 39, berkata, walaupun belum berkahwin dan berbelanja untuk diri sendiri serta ibu bapanya, tetap terasa kesan kos perbelanjaan yang meningkat.

“Dulu, beli keperluan makanan dan barangan untuk sebulan, tidak sampai RM250 tetapi sekarang lebih RM300 diperuntukkan.

“Bagi persiapan Ramadan ini, saya pilih membeli di pasar raya kerana mudah untuk mendapatkan semua barangan yang selain suasana yang lebih selesa,” katanya.