Kes jangkitan Covid-19 di Pahang menurun

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kes jangkitan Covid-19 di Pahang merekodkan penurunan 33 peratus berbanding 5,595 kes dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 12/2022.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, secara keseluruhan, bilangan kes menunjukkan purata penurunan 799 kes sehari.

Menurutnya, daripada 5,595 kes tersebut, sebanyak 82 kes iaitu 1.5 peratus merupakan pesakit dalam kategori 3, 4 atau 5.

"Kadar kebolehjangkitan (Rt) pada 30 Mac di Pahang ialah 0.79 peratus dan lebih rendah berbanding kadar Rt Malaysia iaitu 0.88 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dr Nor Azimi memberitahu, kes aktif dalam rawatan ialah sebanyak 8,169 kes atau 4.9 peratus manakala sebanyak 277 atau 3.4 peratus) kes aktif sedang sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Tambahnya, 7,892 atau 96.6 peratus kes berada dalam pengawasan di rumah oleh pasukan CAC.

Beliau menjelaskan sehingga Khamis, jumlah kematian akibat Covid-19 Pahang ialah sebanyak 1,021 kes, iaitu 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19

Tambahnya, daripada kumulatif kematian itu, sebanyak 615 (60.2 peratus) kes merupakan individu yang tidak divaksin dan sebanyak 127 (12.4 peratus) kes tidak lengkap vaksin.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 258 (25.3 peratus) kes lengkap vaksin dan 21 atau 2.1 peratus adalah kes kematian melibatkan penerima vaksin dos penggalak," ujarnya.

Menyentuh mengenai program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi dos penggalak dan vaksin kanak-kanak di Pahang, Dr Nor Azimi berkata, seramai 604,829 penduduk di seluruh negeri telah menerima dos penggalak (VDP) iaitu pada kadar 57.3 peratus.

”Bagi PICK kanak-kanak berumur 5 hingga 12 tahun pula seramai 52,449 orang telah menerima suntikan vaksinasi Covid-19 iaitu pada kadar 26.2 peratus,” katanya.

Jelasnya, fasa peralihan endemik yang bermula di seluruh negara merupakan strategi awal bagi membolehkan masyarakat kembali kepada kehidupan yang hampir normal dan perlu mengetahui peranan dengan mengamalkan langkah-langkah kebersihan dan kesihatan.