Hasni tiada hasrat ambil semula jawatan Menteri Besar Johor

Kepimpinan UMNO Johor meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-63 Hasni selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru pada Jumaat.
Kepimpinan UMNO Johor meraikan sambutan ulang tahun kelahiran ke-63 Hasni selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di Pejabat UMNO Johor, Johor Bahru pada Jumaat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad tidak akan memulakan sebarang gerakan yang boleh menjatuhkan kerajaan serta merebut semula jawatan Menteri Besar (MB) Johor.

Beliau berkata, perkara itu bagi membolehkan urusan kerajaan negeri dilaksanakan dengan sebaiknya selain pihaknya turut menyokong kesemua barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang telah dilantik.

“Saya tidak akan mengambil langkah-langkah menjadi MB semula sepertimana dilakukan pemimpin lain untuk menjadi Perdana Menteri atau sebagainya.

“Jadi untuk Johor ini saya tidak akan mengambil langkah-langkah seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas Mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri Johor di Pejabat UMNO Johor di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazi sah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar (MB) Johor ke-19.

Onn Hafiz yang juga bekas Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene, di sini pada 15 Mac.

Sementara itu, ditanya mengenai spekulasi akan bertanding bagi kerusi Parlimen selepas ini, Hasni memberitahu, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti.

“Itu saya serah kepada pucuk pimpinan, bagaimanapun saya bersedia (bertanding Parlimen). Apa pun keputusan parti saya sedia untuk meneruskan khidmat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai intipati mesyuarat yang dibuat, Hasni berkata, perkara itu adalah termasuk dengan kesediaan parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Kita meminta untuk setiap bahagian membuat tinjauan di peringkat akar umbi mengenai adakah perlu PRU diadakan segera atau sebaliknya walaupun ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) sebelum ini, kita mahu ia diadakan dengan segera.

“Kita akan dapatkan maklum balas akar umbi dahulu adakah mereka juga bersedia untuk PRU ini perlu diadakan dengan segera atau sebaliknya,” katanya.