MAIWP bantu golongan B40 miliki gajet, komputer riba

Abdul Hakim pada pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ pada Jumaat.
Abdul Hakim pada pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ pada Jumaat.
A
A
A
KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyediakan peruntukan pendidikan bagi membantu pelajar kurang berkemampuan memiliki gajet atau komputer riba ketika fasa pandemik sejak 2020 lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, ia bagi memudahkan pelajar mengikuti kelas Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurutnya, MAIWP kini dalam fasa menyediakan kemudahan capaian internet di semua Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam di Wilayah Persekutuan bagi tujuan sama.

"Sejak pandemik pada tahun 2020, kita letakkan peruntukan untuk pendidikan bantu pelajar-pelajar termasuk dalam kategori asnaf bagi pembelian gajet.

"Alhamdulillah pihak MAIWP telah berjaya menyantuni asnaf-asnaf ini untuk keperluan mereka, bukan hanya pendidikan malah keperluan lain termasuk makanan selain bantuan baiki rumah kepada mangsa banjir," katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Penuh Makna di Wisma PPZ pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu tular membabitkan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengeluarkan kata berbaur hinaan kepada kumpulan B40 ketika menegur salah seorang pelajarnya yang tidak menggunakan komputer riba ketika mengikuti kelas secara dalam talian.

Beliau menjelaskan, pihaknya yakin masalah tiada gajet atau komputer riba tidak berlaku di Wilayah Persekutuan kerana telah ditangani secara baik oleh pihak MAIWP serta agensi berkaitan.

"Boleh dikatakan masalah itu selesai, Insya-ALLAH.

Bagi yang terlepas pandang, mereka boleh mohon terus kepada MAIWP. Bagi yang termasuk golongan asnaf biasanya kumpulan ini dibantu, " katanya.

Artikel Berkaitan: