Kerajaan salur RM20.63 bilion program subsidi upah setakat 18 Mac

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM20.63 bilion kepada 357,618 majikan melalui Program Subsidi Upah (PSU) setakat 18 Mac, 2022 untuk mengekalkan penggajian 2.96 juta pekerja tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melalui PSU 1.0 tersebut, seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dengan permohonan subsidi upah yang diluluskan telah mencecah nilai RM12.958 bilion setakat 18 Mac, 2022.

Beliau berkata, di bawah PSU 2.0 setakat 18 Mac, 2022, sejumlah RM1.407 bilion telah disalurkan kepada 81,132 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian seramai 718,195 pekerja.

"Bagi PSU 3.0 setakat 18 Mac, 2022, sebanyak RM3.728 bilion telah disalurkan kepada 162,255 majikan untuk mengekalkan penggajian bagi 1,525,987 pekerja.

"Malah, PSU 3.0 turut ditambah baik dengan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi Dan Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dan Pemerkasa+,” katanya dalam Laporan Kewangan Rakyat yang dikeluarkan pada Jumaat.

Tengku Zafrul berkata, di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kerajaan telah melaksanakan PSU 4.0 dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion yang dijangka memberi manfaat kepada 2.5 juta pekerja.

"Bagi tempoh setakat 18 Mac, 2022, sebanyak RM2.465 bilion telah disalurkan kepada 159,326 majikan untuk terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 1,874,512 pekerja,” katanya.

Beliau berkata. bagi PSU 5.0, sebanyak RM71.995 juta telah disalurkan kepada 3,681 majikan setakat 18 Mac, 2022 bagi membolehkan mereka terus beroperasi dan mengekalkan penggajian bagi 61,772 pekerja.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, seramai 2,709 peserta telah berjaya ditempatkan di sektor awam dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui inisiatif program Malaysia Short-term Employment (MySTEP) setakat 25 Mac, 2022 berbanding 2,546 orang setakat 17 Mac lalu.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, seramai 1,833 orang pekerja telah ditempatkan di sektor awam manakala 713 pekerja lain di GLC serta rakan-rakan strategik lain.

"Kementerian Kewangan juga menyediakan portal MySTEP bagi menambah baik proses permohonan dan pengambilan pekerja di sektor awam dan GLC. Portal ini telah dilancarkan secara rasmi pada Majlis Pelancaran JaminKerja yang berlangsung pada 19 Februari lalu.

"Mereka yang berminat untuk bekerja di sektor awam atau GLC hanya perlu memohon serta memuat naik maklumat diri masing-masing melalui portal tersebut,” katanya. - Bernama