Pelan pembangunan sukan prestasi tinggi bantu cari bakat baharu

Mohd Johari
Mohd Johari
A
A
A

KUANTAN - Pelan Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi Negeri Pahang 2021-2030 menjadi teras strategik kepada kemajuan sukan di negeri ini yang antara lain melibatkan pencarian bakat baharu, kata Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd Johari Hussain.

Pencarian bakat baharu bagi mengharumkan nama Pahang, menurut Mohd Johari dilakukan menerusi jalinan kerjasama agensi luar dan libat urus komuniti selain usaha memperkenalkan ikon sukan Pahang untuk dijadikan pencetus inspirasi bagi menarik minat remaja dan atlet muda.

"Kerjasama antara Majlis Sukan Pahang (MSP) dengan Jabatan Pendidikan Pahang (JPNP) juga diperkasakan bagi mengenal pasti bakat sukan dan merangka formula berkesan untuk melahirkan keseimbangan prestasi akademik dan sukan bakat berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Sim Chon Siang (PH-Teruntum) yang ingin tahu inisiatif kerajaan negeri bagi meningkatkan barisan atlet negeri yang baharu, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Jumaat.

Pada perkembangan lain, Mohd Johari memaklumkan tiada atlet Pahang yang digugurkan daripada program latihan kebangsaan apabila kesemua 13 atlet Program Podium dan tiga atlet pelapis kebangsaan masih dikekalkan dalam latihan persediaan tiga temasya sukan utama tahun ini.

Ia melibatkan Sukan SEA 2022 di Vietnam, Sukan Komanwel Birmingham, England dan Sukan Asia Hangzhou, China.

Berhubung soalan tambahan Chon Siang berkaitan bantuan kewangan kepada atlet, Mohd Johari berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan kebajikan atlet yang turut terkesan dengan penularan Covid-19 menyebabkan ada bantuan bakul makanan diberikan secara bersasar selain bantuan kewangan.

"Ada atlet dan jurulatih yang terkesan dengan penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) dan kerajaan negeri diminta untuk memastikan kelangsungan elaun diterima mereka, walaupun jika diikutkan elaun itu perlu dihentikan dan kita telah membelanjakan hampir RM700,000 untuk meneruskan kelangsungan elaun tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MSP juga bukan hanya membantu dari segi kewangan dan barangan, malah dalam segala bentuk bantuan yang boleh dihulurkan termasuk pengurusan jenazah atlet muda badminton Pahang, Wan Ezremy Shaqir Wan Erman, 18, yang meninggal dunia pada Khamis akibat kemalangan jalan raya. - Bernama