Sila log masuk terlebih dahulu.

Covid-19: 18,560 kes baharu, 18,253 sembuh

KKM merekodkan sebanyak 18,560 kes baharu Covid-19 pada Khamis. - Foto Bernama
KKM merekodkan sebanyak 18,560 kes baharu Covid-19 pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 18,560 kes baharu Covid-19 pada Khamis menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini adalah sebanyak 4,201,919.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah berkenaan melibatkan 18,373 kes tempatan dan 187 kes import.

“Bagi pecahan daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,473 kes atau 51.04 peratus adalah daripada pesakit Covid-19 kategori satu, sementara 8,962 kes atau 48.29 peratus pesakit kategori dua.

“Bagi kategori tiga, terdapat 47 kes (0.25 peratus), kategori empat dengan 37 kes (0.20 peratus) dan bagi kategori lima adalah sebanyak 41 kes (0.22 peratus)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan jumlah keseluruhan 125 kes bagi pesakit kategori tiga hingga lima, 34 kes dilaporkan tidak divaksinasi atau belum lengkap mendapatkan pelalian berkenaan.

“Sebanyak 50 kes pula sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi tidak menerima dos penggalak, manakala 41 kes pula sudah menerima dos penggalak.

“Selain itu, 67 kes melibatkan mereka yang berumur 60 tahun ke atas. 66 kes lagi mempunyai komorbid dan tiada kes melibatkan ibu mengandung,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 267 kes memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) dengan 128 daripadanya disahkan Covid-19 manakala kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan pula adalah sebanyak 139.

Artikel Berkaitan:

"Bagi kes memerlukan bantuan pernafasan, sebanyak 164 kes dilaporkan dengan 79 kes disahkan Covid-19 dan 85 lagi kes disyaki, kemungkinan dan kes dalam siasatan.

"Tiga negeri mencatatkan peratusan pengisian melebihi 50 peratus bagi katil kes kritikal atau ICU dengan Kuala Lumpur mendahului sebanyak 57 peratus, Perlis dengan 55 peratus dan Selangor 50 peratus," katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 18,253 kes sembuh direkodkan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kepada 3,960,082.

Menurutnya, tiada kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif sebanyak 198.