Strategi menjadi bawa kejayaan buat TNB

Pemain pasukan TNB meraikan kejayaan selepas menewaskan pasukan THT 3-2 pada perlawanan akhir Piala TNB 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam Khamis. - Foto Bernama
Pemain pasukan TNB meraikan kejayaan selepas menewaskan pasukan THT 3-2 pada perlawanan akhir Piala TNB 2022 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil malam Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendekatan tidak takut melancarkan serangan serta strategi menutup ruang pukulan sudut penalti menjadi faktor kejayaan pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjulang Piala TNB semalam.

Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasiruddin berkata, kemahiran bertahan yang dimiliki anak buahnya berjaya menyekat lawan mereka Terengganu Hockey Team (THT) yang sangat berkebolehan dalam menghasilkan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.

Beliau berkata, kemenangan 3-2 ke atas THT pada aksi final pada Khamis adalah kejayaan terbaik pasukan selepas tewas dua kali dalam saingan Piala Sumbangsih dan TNB Liga Hoki Malaysia musim ini kepada lawan sama.

"Kita bermain dengan baik dari suku pertama hingga suku ketiga perlawanan, berjaya mendominasi aksi, ditambah berjaya menyekat ruang untuk mereka menyempurnakan jaringan sudut penalti yang rata-ratanya diambil Faizal Saari.

"Kita juga tidak perlu takut dan kena jaringkan gol, kalau tidak kita akan kalah. Akhirnya gol itu dapat dijaringkan pada saat akhir,” katanya.

Kemenangan TNB menamatkan kemarau sembilan tahun bergelar juara serta memadam hasrat THT meraih gelaran trebel musim ini.

TNB mengejutkan THT dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menerusi jaringan pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan pada minit ke-18, diikuti Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-39 dan jaringan padang Muhammad Amirul Hamizan Azhar pada minit ke-60.

Dua gol THT diperolehi menerusi jaringan padang Muhammad Marhan Mohd Jalil dan Ismail Abu masing-masing pada minit ke-49 dan 50. - Bernama

Artikel Berkaitan: