Buka sempadan: PLUS kongsi tip kepada pengembara

Pengecualian bayaran tol ditawarkan untuk semua jenis kenderaan di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang sehingga 7 April ini.
Pengecualian bayaran tol ditawarkan untuk semua jenis kenderaan di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang sehingga 7 April ini.
A
A
A

SHAH ALAM - PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan terdapat peningkatan jumlah kenderaan di lebuh raya kendalian PLUS dalam tempoh akan datang susulan pembukaan semula sempadan laluan darat terutama menjelang bulan Ramadan.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sehubungan itu PLUS berkongsi tip untuk pengembara yang memasuki sempadan negara melalui laluan darat di Bangunan Sultan Iskandar dan Plaza Tol Tanjung Kumpan untuk memudahkan perjalanan mereka.

“Antaranya, pengecualian bayaran tol ditawarkan untuk semua jenis kenderaan dan hanya terpakai di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) di Johor sahaja.

“Tempoh pengecualian tol adalah selama satu minggu, dari 1 April hingga 7 April 2022,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada Khamis, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengecualian bayaran tol selama tujuh hari di plaza tol Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang, bermula Jumaat ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan pengecualian bayaran tol bagi semua jenis kenderaan darat itu sempena pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura pada 1 April.

Dalam pada itu, Azman berkata, sebagai persediaan untuk perjalanan, orang ramai diminta menyemak peralatan pembayaran tol seperti kad Touch ‘n Go atau SmartTAG.

“Perlahankan kenderaan apabila menghampiri plaza tol. Walaupun bayaran tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar dan Tanjung Kupang dikecualikan, pelanggan lebuh raya masih perlu menyentuh kad Touch ‘n Go mereka pada pengimbas di lorong tol bagi membolehkan PLUS merekodkan data trafik.

Artikel Berkaitan:

"Patuhi arahan pihak berkuasa dan prosedur operasi standard kawalan sempadan yang ditetapkan.

“Sekiranya anda ingin meneruskan perjalanan ke destinasi lain selain kedua-dua tol plaza ini, sila pastikan baki kad Touch ‘n Go yang mencukupi dan tambah nilai untuk perjalanan anda di laluan bertol yang lain di Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, PLUS telah bersiap siaga dengan menambah bilangan petugas khidmat pelanggan di kedua-dua plaza tol pintu negara untuk memberi bantuan kepada semua pelanggan yang memerlukan pertolongan.

“PLUS telah mengadakan pelbagai persediaan yang rapi bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang selamat, lancar dan selesa di lebuh raya, di plaza tol dan kawasan rehat.

“Ketika singgah di R&R, pastikan anda mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengurangkan jangkitan Covid-19,” katanya.