Kumpul e-sisa berpeluang menangi wang tunai

Baderul Amin (tengah) ketika melancarkan Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 di Menara MBSP pada Khamis.
Baderul Amin (tengah) ketika melancarkan Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 di Menara MBSP pada Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Penduduk di kawasan Seberang Perai digesa menyertai Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 yang dianjurkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pemangku Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid berkata, pertandingan yang dianjurkan bersama syarikat Cycle Trend Industries Sdn Bhd bertujuan untuk memastikan pelupusan barang e-sisa dilaksanakan lebih sistematik dan terurus.

Menurutnya, pertandingan diadakan untuk melibatkan serta menggalakkan pusat-pusat kitar semula komuniti mengumpul dan melupuskan e-sisa di Seberang Perai.

"Kita mahu menggalakkan pusat kitar semula komuniti mengumpul barang elektrik dan elektronik terpakai isi rumah dan memastikan pelupusan barangan itu dilaksanakan secara lebih sistematik dan baik.

"Melalui program ini, kita akan beri insentif kepada pusat kitar semula yang mengadakan kempen pengumpulan barang elektrik dan elektronik terpakai melalui pemberian hadiah," katanya ketika Majlis Pelancaran Pertandingan Pengumpulan Barang Elektrik dan Elektronik Terpakai Isi Rumah Seberang Perai 2022 di sini, pada Khamis.

Baderul Amin berkata, barangan elektrik dan elektronik terpakai serta sisa berbahaya telah muncul sebagai cabaran baru pihak berkuasa tempatan dari segi pengumpulan dan pelupusan.

Jelasnya, cara pengendalian barangan berkenaan berbeza dengan sampah domestik kerana ia bersifat berbahaya.

Beliau berkata, masalah itu harus ditangani oleh MBSP untuk melaksanakan peraturan baru bagi memelihara alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

"Dalam Pelan Tindakan Ekonomi Kitaran Seberang Perai 2021 – 2030, elektronik dan sisa berbahaya adalah salah satu daripada lapan Bidang Keberhasilan Utama yang telah dikenalpasti.

"Antara pelan tindakan yang telah digariskan MBSP untuk menangani sisa elektronik dan sisa berbahaya adalah dengan menyediakan pusat pengumpulan e-sisa agar sisa-sisa elektrik dan elektronik dibuang dengan betul di pusat pemprosesan yang dibenarkan.

"Selain itu, kita juga mengenal pasti syarikat swasta yang mampu melakukan usahasama dengan MBSP untuk melaksanakan aktiviti pemprosesan e-sisa," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 19 pusat kitar semula telah berdaftar untuk mengambil bahagian.

Katanya, penganjur pusat kitar semula diminta mengumpul dan menjual e-sisa kepada syarikat yang diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Tempoh pertandingan adalah bermula pada 1 Januari 2022 sehingga 30 Oktober 2022.

Buangan e-sisa isi rumah yang dikumpul akan ditimbang, dijual dan dilupus oleh syarikat yang berlesen dengan JAS.

"Setiap bulan hadiah wang tunai sebanyak RM200 menanti pemenang yang berjaya mengumpul barangan e-sisa terberat manakala bagi pertandingan akhir hadiah keseluruhan bernilai RM1,200 disediakan untuk pemenang," katanya.