Pahang terima pelaburan RM5 bilion

Wan Rosdy menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara Sallehuddin dengan Steve di Wisma Sri Pahang pada Khamis.
Wan Rosdy menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara Sallehuddin dengan Steve di Wisma Sri Pahang pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang merekodkan prestasi pelaburan memberangsangkan dengan memeterai perjanjian pelaburan bernilai RM5 bilion.

Perjanjian dimeterai antara Alliance Steel (M) Sdn Bhd (ASSB) dengan kerajaan Pahang itu bagi projek fasa kedua pembesaran kilang membabitkan kawasan seluas 101.2 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembesaran kilang ASSB berteknologi tinggi dan serba moden ini akan dilengkapi gudang bahan mentah sekali gus dapat menambahkan produk plat keluli.

"Melalui projek fasa kedua ini, kapasiti pengeluaran produk besi dan keluli yang menjadi antara produk perdagangan eksport utama Pahang dapat ditingkatkan daripada 3.5 juta tan kepada 10 juta tan setahun.

"Projek ini bakal menyediakan 3,000 peluang pekerjaan dengan 80 peratus daripadanya adalah untuk rakyat tempatan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sebelum itu, Wan Rosdy menyaksikan perjanjian yang dimeterai antara Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Dr Sallehuddin Ishak dengan Ketua Pegawai Eksekutif ASSB, Steve Hujiulin di Wisma Sri Pahang di sini.

ASSB merupakan pelabur pertama di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan merupakan kilang keluli pertama di Asia Tenggara yang mengadaptasi teknologi proses lengkap dalam pembuatan, pengeluaran besi serta keluli.

Pada 18 Februari lalu, kerajaan Pahang telah memeterai perjanjian akhir pelaburan luar negara bernilai RM5.5 bilion dengan enam syarikat pelaburan dari Singapura, China, Thailand dan Korea Selatan.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2021, Pahang telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM10.5 bilion membabitkan RM987 juta daripada pelaburan domestik dan RM9.8 bilion daripada pelaburan antarabangsa

Wan Rosdy menjelaskan kerajaan Pahang komited dalam menyediakan persekitaran kondusif dan kestabilan politik yang meyakinkan bagi menarik minat pelabur untuk terus mengembangkan pelaburan di negeri ini.

"Kerajaan Pahang sentiasa berusaha sehabis baik bagi memastikan negeri ini dapat dibangunkan dan dimajukan secara menyeluruh serta seimbang demi kesejahteraan dan manfaat rakyat.

"Dalam hal ini, kerajaan Pahang komited untuk mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) pelaburan Pahang yang ditetapkan pada tahun ini dengan jumlah RM18 bilion." ujarnya.