Tiada lagi kelulusan perlombongan dalam hutan simpan kekal di Perak

Dewan Negeri Perak pada Khamis dimaklumkan bahawa tiada lagi kelulusan baharu bagi sebarang aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam HSK di negeri ini.
Dewan Negeri Perak pada Khamis dimaklumkan bahawa tiada lagi kelulusan baharu bagi sebarang aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam HSK di negeri ini.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak tidak akan memberikan kelulusan baharu bagi sebarang aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam hutan simpan kekal (HSK) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, aktiviti pengkuarian sedia ada di dalam HSK ketika ini dikawal oleh Jabatan Perhutanan Negeri dengan mengenal pasti kawasan-kawasan yang sesuai untuk aktiviti berkenaan.

Menurutnya, Jabatan Perhutanan negeri juga sentiasa bekerjasama dengan agensi teknikal dalam usaha pemantauan aktiviti kuari di Perak.

"Bermula November 2021, pihak berkuasa negeri telah memutuskan agar semua permohonan kuari dalam HSK perlu melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) untuk diangkat bagi pertimbangan Jawatankuasa Mineral.

"Bagaimanapun, pihak berkuasa negeri telah memutuskan tiada lagi kelulusan baharu bagi aktiviti perlombongan dan pengkuarian di dalam HSK," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih Atas Penzahiran Titah Diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Dewan Negeri pada Rabu.

Beliau berkata, segala permohonan kuari perlu mendapatkan laporan kesesuaian daripada agensi teknikal seperti Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), PTG dan Jabatan Perhutanan negeri.

Sementara itu, dalam usaha membendung isu pencerobohan tanah-tanah di tepi sungai, Saarani berkata, pihak PTG bersama-sama semua pentadbir tanah serta agensi dan jabatan yang berkaitan telah melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara bersepadu mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 828) melibatkan pencerobohan tanah kerajaan dan juga tanah rizab.

Jelasnya, sebanyak 110 operasi penguatkuasaan iaitu masing-masing 30 operasi pada tahun 2020 dan 80 operasi pada 2021 telah dilaksanakan ke atas pencerobohan tanah-tanah kerajaan dan juga tanah-tanah rizab.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemantauan secara berterusan oleh pihak PTG, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi dan jabatan yang terlibat juga sentiasa dilaksanakan selain laporan yang diterima daripada orang awam.

"Kerajaan negeri bersama kerajaan persekutuan akan melaksanakan proses pewartaan rizab-rizab sungai seperti yang diputuskan dalam Majlis Sumber Air Negara (MSAN).

"Proses pewartaan rizab sungai akan memudahkan penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah dan merancang projek-projek tebatan banjir," katanya.

Saarani berkata, pentadbiran tanah akan mengekalkan rizab sungai seperti mana syor pihak JPS jika terdapat sesuatu permohonan pemberimilikan yang melibatkan kawasan sungai.

Katanya, jika didapati tanah diusahakan tanpa kelulusan, tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) boleh diambil bagi memastikan ia tidak mengganggu kerja-kerja penyelenggaraan tebing sungai oleh pihak JPS.